35 anak istimewa rasa kemeriahan HKHS

IMG 0930

Oleh: Nurul Fazliana Norman

BEAUFORT: 9 Ogos 2026 – Seramai 35 anak istimewa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Daerah Beaufort diraikan menerusi Program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) Kluster Pendidikan di Pusat PPDK, di sini, untuk memberi ruang kepada golongan berkeperluan khas turut merasai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah (HKHS).

Pengerusi PPDK Daerah Beaufort, Malik Yusof berkata, golongan anak istimewa tidak seharusnya dipinggirkan, sebaliknya perlu terus disantuni dan diberikan peluang untuk bersama-sama menyertai aktiviti kemasyarakatan.

IMG 0925

“Ini merupakan salah satu usaha untuk memperkukuh nilai kasih sayang, kesukarelawanan dan memastikan golongan berkeperluan khas terus diberi perhatian melalui pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada mereka,” katanya ketika merasmikan program berkenaan pada Khamis.

Menurutnya, program itu merupakan antara pengisian sempena Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Beaufort, selain program Bakti Madani yang diadakan bersama petugas dan pelatih PPDK.

Katanya, aktiviti mewarna dan menyusun suai gambar bertemakan kemerdekaan bukan sahaja mencungkil kreativiti, malah menyemai semangat patriotisme dan rasa cinta terhadap negara.

IMG 0928

“Program ini turut memberi ruang kepada anak-anak istimewa untuk berinteraksi dan berkomunikasi bersama keluarga dan komuniti dalam suasana santai dan penuh keceriaan,” ujarnya.

Malik berkata, penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan turut membantu meningkatkan keyakinan diri golongan berkeperluan khas dan menggalakkan mereka lebih aktif dalam kehidupan bermasyarakat.

Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa anak-anak istimewa mempunyai potensi tersendiri dan tidak seharusnya dipinggirkan.

Sumber: JAPEN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal