Mereka menjaga nyawa, tetapi siapa menjaga mereka?

B7DC01A0 CBBA 4A56 B483 60719BDFB920 2A3CB4D0 94F5 4AEB A937 9818D2E8C469

Oleh: Roodwill

Pemergian seorang jururawat baru-baru ini bukan sekadar mengundang rasa sedih. Ia turut mengingatkan tentang cabaran yang telah lama dihadapi warga kejururawatan di Malaysia.

Walaupun punca sebenar kematiannya tidak diumumkan, peristiwa itu membuka semula perbincangan mengenai beban kerja, tekanan dan kekurangan tenaga kerja dalam sistem kesihatan awam.

Penulisan ini tidak bertujuan mengaitkan pemergian itu dengan beban kerja. Sebaliknya, ia menghimpunkan dapatan kajian dan laporan yang memberi gambaran tentang cabaran yang dihadapi jururawat setiap hari.

Masakan dalam kuali, pelukan jadi kenangan terakhir

Api dapur sudah dipadam, makanan sudah siap dimasak, namun tidak sempat dijamah.

Bagi keluarga mendiang Vanessa Anak Ewot, pelukan hangat dan ciuman ringkas seorang ibu yang baru pulang dari syif malam dengan seragam putihnya pada 2 Ogos lalu rupa-rupanya menjadi lambaian terakhir.

Jururawat Gred U5 di Hospital Umum Sarawak itu pergi untuk selamanya secara mengejut, meninggalkan seorang suami dan anak yang masih kecil. Walaupun Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengesahkan kematiannya tanpa menyatakan sebarang punca, pemergian itu merentap emosi warga netizen dan secara tidak langsung membuka semula perbincangan mengenai realiti yang dihadapi petugas kejururawatan di negara ini.

Kisah ini mencetus pelbagai persoalan mengenai kehidupan jururawat. Di sebalik seragam putih yang sentiasa kelihatan kemas dan tenang, apakah sebenarnya yang dilalui oleh jururawat setiap hari?

Suara di sebalik seragam putih

Bagi kebanyakan pesakit, jururawat ialah individu yang paling lama berada di sisi mereka. Mereka memantau keadaan pesakit, memberi ubat, membantu rawatan dan bertindak ketika kecemasan. Tanggungjawab itu memerlukan ketelitian, ketahanan fizikal dan emosi yang tinggi.

Namun, tugas itu turut memberi kesan kepada kesihatan mereka sendiri.

Masalah sakit belakang, leher dan bahu menjadi antara kecederaan yang paling kerap dialami jururawat. Satu kajian di sebuah hospital swasta di Muar, Johor mendapati prevalens masalah muskuloskeletal dalam tempoh 12 bulan adalah 90.3 peratus, dengan bahagian bawah belakang (86.7%), leher (86.0%) dan bahu (85.0%) menjadi kawasan yang paling terjejas. Kajian itu juga mendapati tugasan berulang kali mempunyai perkaitan signifikan dengan masalah muskuloskeletal (OR=4.50, 95% CI: 1.11–18.30, p=0.036).

Satu lagi kajian di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru melaporkan prevalens masalah muskuloskeletal yang tinggi iaitu 86.5 peratus dalam kalangan jururawat.

Manakala kajian ke atas 155 orang jururawat ortopedik di Hospital Kuala Lumpur mendapati prevalens sangat tinggi untuk masalah muskuloskeletal berkaitan pekerjaan dalam tempoh 12 bulan lalu, dengan ‘sakit bahagian bawah belakang’ sebagai aduan paling kerap dilaporkan, diikuti ‘sakit leher’ dan ‘sakit bahu’. Kajian yang sama mengenal pasti faktor risiko seperti “mengangkat atau memindahkan pesakit yang bergantung” dan “merawat sejumlah besar pesakit dalam satu hari” sebagai aktiviti dengan skor min tertinggi.

Tugasan yang dilakukan berulang kali setiap hari akhirnya memberi kesan kepada tubuh mereka. Bagi sesetengah jururawat, kesakitan itu menjadi sebahagian daripada rutin kerja yang perlu ditempuhi.

“Jaga anak orang sakit, tapi bila anak sendiri sakit nak cuti pun tak dapat,” tulis seorang pengguna TikTok, menggambarkan dilema emosi yang dihadapi petugas kesihatan.

Seorang lagi pengguna berkongsi pengalaman isterinya yang juga jururawat, yang sering pulang dalam keadaan menangis akibat keletihan melampau selepas menghabiskan syif yang panjang.

Cabaran itu tidak berakhir apabila syif tamat

Gangguan tidur, tekanan emosi dan simptom kemurungan semakin menjadi kebimbangan dalam kalangan jururawat hospital kerajaan. Menurut satu kajian, prevalens tahap tekanan kerja dalam kalangan jururawat hospital adalah 35.2 peratus melaporkan tekanan tinggi, manakala satu kajian lain mendapati 24.6 peratus daripada 110 orang jururawat di sebuah hospital kerajaan mengalami tekanan pekerjaan. Faktor seperti beban kerja, konflik peranan dan kekangan organisasi dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada tekanan kerja di kalangan profesional kesihatan Malaysia, dengan jururawat dan pegawai perubatan junior mengalami tahap tekanan pekerjaan yang lebih tinggi berbanding doktor kanan dan kakitangan pentadbiran.

Keletihan melampau atau burnout turut menjadi antara cabaran utama dalam profesion kejururawatan. Satu kajian peringkat kebangsaan yang diterbitkan dalam BMJ Open pada tahun 2022 mendapati hampir satu daripada setiap empat jururawat di Malaysia mengalami burnout. Kajian yang melibatkan jururawat di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia ini bertujuan menentukan prevalens dan faktor risiko burnout bersama strategi daya tindas dalam kalangan jururawat.

Tekanan yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan kesihatan diri, malah boleh memberi kesan kepada tumpuan ketika bertugas dan kehidupan bersama keluarga. Konflik antara kerja dan keluarga turut memberi kesan negatif kepada kepuasan kerja dan kepuasan keluarga dalam kalangan jururawat.

Apabila keletihan menjadi rutin, tugas yang memerlukan ketelitian tinggi menjadi semakin mencabar. Keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada jururawat, malah boleh menjejaskan kualiti penjagaan yang diterima pesakit.

KKM hadapi realiti kini

Sektor kesihatan turut berdepan cabaran mengekalkan tenaga kerja. 40 hingga 80 peratus jururawat dilaporkan mengalami tekanan psikologi, dengan lebih 20 peratus mempertimbangkan untuk meninggalkan profesion, dan kadar pusing ganti hospital melebihi 10 peratus. Malaysia diunjurkan menghadapi kekurangan jururawat hampir 60 peratus menjelang 2030. Negara dianggarkan bakal kehilangan antara 2,000 hingga 3,000 orang jururawat setiap tahun atas pelbagai faktor termasuk berhijrah ke luar negara yang menawarkan gaji dan skim perkhidmatan lebih baik.

Kajian juga mendapati faktor seperti keseimbangan kerja-kehidupan dan keluarga, persekitaran kerja, imej jururawat dalam masyarakat, dan peluang pekerjaan mempengaruhi niat jururawat untuk meninggalkan profesion.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui negara berdepan kekurangan jururawat yang kritikal. Setakat Jun 2025, jumlah jururawat termasuk jururawat masyarakat di seluruh negara adalah seramai 120,667 orang, namun kekosongan jawatan jururawat di fasiliti awam mencatatkan angka sebanyak 14,000. Berdasarkan data sehingga 30 Ogos 2025, sebanyak 69,158 jawatan jururawat telah diisi daripada keseluruhan 83,158 jawatan yang diperuntukkan.

Justeru, sebagai langkah jangka pendek, KKM menyasarkan pengisian kira-kira 15,000 kekosongan jawatan jururawat dalam sistem kesihatan awam. Pengambilan pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) telah digandakan dari 1,500 ke 3,000 orang setahun. Pada masa sama, moratorium program kejururawatan swasta turut ditarik balik dan sebanyak 12 institusi baharu telah memohon untuk menawarkan program diploma kejururawatan.

Untuk penyelesaian jangka panjang, Pelan Strategik Kejururawatan 2026–2036 yang dilancarkan oleh KKM memberi tumpuan kepada enam teras strategik termasuk penambahbaikan latihan, laluan kerjaya, kebajikan, dan penggunaan teknologi dalam penjagaan kejururawatan. Antara inisiatif utama adalah:

  1. Memperkukuh kebajikan mental melalui penyediaan sistem sokongan psikologi yang lebih tersusun, pengurusan jadual syif malam yang lebih adil dan penetapan nisbah jururawat kepada pesakit yang lebih munasabah. Malaysia kini mempunyai nisbah jururawat kepada penduduk sekitar 1:450 — jauh lebih rendah berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1:200.
  2. Memperkasakan autonomi klinikal dengan memberi ruang lebih luas kepada jururawat membuat keputusan profesional berdasarkan kepakaran, latihan lanjutan dan pertimbangan klinikal ketika mengendalikan pesakit.
  3. Menambah baik laluan kerjaya melalui pengkhususan bidang, peluang kenaikan pangkat yang lebih jelas dan pantas, dan penambahbaikan ganjaran untuk mengurangkan penghijrahan tenaga mahir ke luar negara. Penubuhan Akademi Kejururawatan Kebangsaan akan menyelaraskan kurikulum dan pensijilan di seluruh negara, dan menyediakan laluan khas untuk jururawat berpengalaman naik pangkat ke jawatan klinikal pakar.

Utamakan kesejahteraan jururawat untuk perkhidmatan berkualiti

Setiap angka, kajian dan laporan rasmi membawa kepada kesimpulan yang sama. Jururawat bukan sekadar menjalankan tugas klinikal, malah menjadi sistem sokongan emosi kepada pesakit dan keluarga yang sedang berdepan detik paling sukar dalam hidup mereka.

Tragedi pemergian mendiang Vanessa mungkin tidak diketahui puncanya. Namun, kisah masakan yang dibiarkan sepi di dalam kuali itu menjadi peringatan bahawa di sebalik tugas menjaga nyawa orang lain, ada insan yang turut memerlukan perhatian, sokongan dan pembelaan terhadap kebajikan mereka sendiri.

Memperkukuh tenaga kerja, menambah baik persekitaran kerja, menjaga kesejahteraan fizikal dan mental jururawat bukan hanya penting untuk kebajikan mereka. Langkah itu juga penting untuk memastikan sistem kesihatan negara terus mampu memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.

Sumber Rujukan

  1. Khalid, M. K. A. & Jaafar, M. H. (2026). Musculoskeletal Disorders (MSDs) and Their Related Factors Among Nurses in a Private Hospital in Muar District, Johor. International Journal of Public Health Research, 16(1), 2410-2417.
  2. Factors affecting the musculoskeletal discomfort scores among nurses in Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (2022).
  3. Daud, N. H., Majid, N., Che Hasan, M. K., Zulkarnain, H., & Hamid, A. A. (2024). Work-related musculoskeletal disorders among orthopaedic nurses in Malaysian trauma centre. Malaysian Journal of Medical Research, 8(Suppl. 1), 79.
  4. Hanifa, S. B. M. (2020). Factors associated with psychological health of female nurses in Malaysian government hospitals. Universiti Putra Malaysia.
  5. Occupational Stress and Its Determinants Among Healthcare Workers in Malaysian Public Hospitals. Malaysian Journal of Public Health Medicine.
  6. Zakaria, N., Zakaria, N. H., Bin Abdul Rassip, M. N. A., & Lee, K. Y. (2022). Burnout and coping strategies among nurses in Malaysia: a national-level cross-sectional study. BMJ Open, 12(10), e064687.
  7. Factors Influencing Malaysian Nurses’ Intention to Leave: A Qualitative Study (2024).
  8. Isu jururawat kurang 60 Peratus, KKM perlu penilaian lanjut. Utusan Malaysia, 15 Disember 2025.
  9. Lantikan jururawat terlatih tetap isi 14,000 kekosongan jawatan. Berita RTM, 22 September 2025.
  10. KKM tangani kekurangan jururawat dengan langkah jangka panjang – Dr Dzulkefly. Sinar Harian, 12 Julai 2025.
  11. KKM sasar isi 15,000 kekosongan jururawat tahun ini. Berita RTM, 4 April 2026.
  12. KKM lancar Pelan Strategik Kejururawatan 2026–2036 perkasa peranan jururawat. WilayahKu.
  13. Kajian di Johor merujuk kepada Khalid & Jaafar (2026) yang melibatkan 103 orang jururawat di sebuah hospital swasta di Muar, Johor dengan kadar respons 73%.
  14. Kajian di Hospital Kuala Lumpur merujuk kepada Daud et al. (2024) yang melibatkan 155 orang jururawat ortopedik.
  15. Penyelidikan oleh Universiti Putra Malaysia merujuk kepada Hanifa (2020) yang melibatkan 691 orang jururawat wanita.
  16. BMJ Open (2022) – Kajian peringkat kebangsaan ini melibatkan jururawat di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia menggunakan reka bentuk persampelan kompleks.
  17. Data KKM sehingga 30 Ogos 2025 merekodkan 69,158 jawatan jururawat telah diisi daripada 83,158 jawatan yang diperuntukkan.
  18. Nisbah jururawat kepada penduduk Malaysia (1:450) adalah berdasarkan laporan WilayahKu, manakala saranan WHO ialah 1:200.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal