RM559.85 Juta perkukuh sekuriti makanan Sabah, Kaamatan jadi lambang perpaduan

457e0416 467f 4e81 a3a1 4140c5d074be

PAPAR: 1 Mei 2026— Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan sebanyak RM559.85 juta kepada sektor pertanian tahun ini sebagai langkah memperkukuh keterjaminan makanan dan meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) negeri. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) bagi memperkasa pengeluaran makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import. 

Menurut beliau, antara inisiatif utama termasuk penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah bagi pembangunan jelapang padi di beberapa kawasan strategik seperti Papar, Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu. 

“Selaras dengan semangat Pesta Kaamatan yang menghargai hasil tuaian, sektor pertanian kekal sebagai antara tonggak utama ekonomi negeri di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat Papar. 

Beliau turut menegaskan kepentingan sokongan rakyat terhadap produk tempatan sebagai usaha memperkukuh ekonomi domestik di samping memastikan sekuriti makanan terus terjamin dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu. 

Hajiji berkata pembangunan pesat di Papar, termasuk projek infrastruktur dan komersial di kawasan Benoni dan Kinarut, membuka potensi daerah itu sebagai destinasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak, khususnya selepas siapnya Lebuhraya Pan Borneo kelak. 

Tambah beliau, pemilihan Papar sebagai lokasi pelancaran Kaamatan tahun ini amat bermakna memandangkan daerah itu merupakan antara kawasan jelapang padi utama di Sabah selain kaya dengan nilai budaya dan semangat perpaduan masyarakatnya. 

Mengulas tema sambutan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, beliau berkata ia mencerminkan kepentingan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan etnik di negeri ini. 

“Warisan seperti Kaamatan perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang. Generasi muda harus dididik untuk menghargai kepelbagaian sebagai asas perpaduan,” katanya. 

Hajiji turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pembinaan gelanggang futsal berbumbung lengkap dengan kemudahan grandstand di Papar sebagai usaha meningkatkan kemudahan rekreasi masyarakat setempat. 

Beliau menegaskan, akan terus komited memastikan pembangunan inklusif dan seimbang agar manfaat kemajuan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal