Video pergaduhan pelajar tular, 14 remaja ditahan polis di Tawau

WhatsApp Image 2026 10 10 at 2.51.23 PM

Oleh: Nurul Fazliana Norman

TAWAU: 10 Oktober 2026 – Seramai 14 remaja lelaki berusia 12 hingga 14 tahun ditahan polis untuk membantu siasatan kes pergaduhan di Taman Ambar, Jalan Kuhara.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, semua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada 7 Oktober susulan siasatan dan tindakan mengesan yang dijalankan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian bermula dengan perselisihan faham antara dua pelajar sebelum pergaduhan itu melibatkan beberapa pelajar lain.

Rakaman video kejadian yang tular membantu polis mengenal pasti individu terbabit dan peranan masing-masing.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 13 dan sebuah basikal berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Seorang individu yang ditahan juga dikenal pasti sebagai warga asing yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata atau benda berbahaya dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Rosdi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan penglibatan dan peranan setiap individu yang ditahan.

Antara tindakan diambil termasuk mendapatkan rakaman video asal, merakam percakapan saksi dan individu ditahan, mendapatkan laporan perubatan mangsa, dan bekerjasama dengan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri menerusi talian 016-918 9402 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Polis Daerah Tawau turut memberi amaran bahawa tindakan merusuh, menyerang individu lain atau menggunakan objek sebagai senjata merupakan kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.

Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya memantau pergaulan dan tingkah laku anak-anak, manakala pelajar diingatkan agar tidak terlibat dalam pergaduhan atau provokasi yang boleh membawa kepada perlakuan jenayah.

Sumber: Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal