TENOM: 2 Mei 2026 – Kerajaan Sabah terus memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan negeri menerusi pelancaran Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan berjumlah RM1 juta, disertai peluasan Program SME-Up 2026 ke lebih banyak daerah.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan, Ewon Benedick, berkata inisiatif tersebut dirangka untuk meningkatkan keupayaan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam aspek pengeluaran, kualiti produk dan pengembangan pasaran.
Menurutnya, tabung khas itu turut diperluaskan skop kepada koperasi dan persatuan keusahawanan, selain usahawan individu. Bantuan yang disediakan merangkumi modal permulaan, peningkatan kualiti produk, pemasaran, pembelian mesin dan peralatan, dan pembangunan modal insan, dengan had maksimum RM20,000 untuk setiap permohonan yang diluluskan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Usahawan PMKS Sabah 2026 Zon Tenom di Padang Bandaran Pekan Tenom, hari ini.
Program SME-Up 2026 akan diperluas melalui pendekatan outreach ke beberapa kawasan utama termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Tenom, Keningau, Membakut, Putatan, Kota Marudu dan Kadamaian untuk memperluas penyertaan usahawan tempatan.

Program berkenaan menyediakan sokongan dalam bentuk mesin dan peralatan termasuk mesin retort, selain bantuan pendaftaran cap dagangan dan pensijilan halal untuk meningkatkan daya saing produk di pasaran. Sehingga 2025, seramai 5,879 usahawan telah menerima manfaat di bawah program tersebut.
Kementerian terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan pasar raya tempatan dan antarabangsa untuk membuka lebih banyak ruang pemasaran, termasuk usaha menembusi pasaran di Semenanjung Malaysia.
Usahawan yang mempunyai lesen perniagaan sah dan aktif digesa memanfaatkan kemudahan yang disediakan untuk memperkukuh operasi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Karnival Usahawan PMKS Sabah 2026 Zon Tenom yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan puluhan usahawan tempatan bersama pelbagai agensi kerajaan dalam usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan di peringkat akar umbi.
