Dari pentas UNK ke gelanggang karate, Alysheron buktikan kehebatan

2421eb34 cf81 40a3 be93 e9bf4fcddd3e

PUTATAN: Bekas finalis Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2026 mewakili Bingkor, Alysheron Maunsiong, 24, membuktikan kehebatannya di luar pentas budaya selepas muncul juara kategori Absolute pada Kejohanan Kaizen Karate Championship 2026 (KKC2026) di Dewan Sri Putatan.

Kejayaan itu diraih menerusi kategori terbuka yang mempertemukan peserta tanpa mengira had berat badan mahupun ketinggian.

0f72f8c6 0255 4ba0 becf 53ed7382b96f

Alysheron mendedikasikan kemenangan itu khas untuk atlet muda bawah bimbingannya di Tambunan sebagai pembakar semangat agar terus gigih dalam seni bela diri karate.

“Kejayaan ini sebenarnya memberi semangat kepada atlet-atlet saya di Tambunan. Bila mereka melihat jurulatih berjaya, mereka mendapat inspirasi dan semangat untuk terus berjuang dalam sukan karate,” katanya.

Wanita itu sudah berkecimpung dalam sukan karate lebih 17 tahun. Cabaran terbesar sepanjang kejohanan itu, katanya, adalah mengatasi perasaan ragu-ragu dalam diri sendiri.

“Cabaran terbesar ialah diri sendiri, seperti rasa kurang yakin dan tidak cukup latihan kerana saya lebih banyak beri tumpuan sebagai jurulatih sahaja. Sebenarnya, penyertaan dalam kategori Open Absolute ini sekadar untuk berseronok, jadi saya tidak rasa tertekan untuk menang dan hanya menikmati perlawanan,” jelasnya.

Alysheron melakukan yang terbaik dan berpegang pada prinsip bahawa faktor ketinggian bukan penghalang untuk melakar kemenangan sekiranya seseorang atlet memiliki asas kemahiran dan teknik yang mantap.

“Bagi saya, ketinggian bukan penghalang untuk menang. Jika ada kemahiran yang kuat, lawan dari mana-mana ketinggian pun mampu ditandingi,” ujarnya.

Mengulas persiapan sebelum kejohanan, anak jati Tambunan itu memaklumkan dia banyak mencuri masa untuk berlatih bersama atlet bimbingannya di Tambunan.

Semuanya bermula ketika ibu bapanya mahu dia mencuba sukan karate sejak kecil. Walaupun pernah berhasrat untuk berhenti ketika di bangku sekolah menengah, dia akhirnya kembali berlatih atas kemahuan sendiri dan terus meminati sukan itu sehingga hari ini.

Alysheron mengakui pengorbanan terbesar sepanjang bergelar atlet dan jurulatih adalah masa. Dia terpaksa melepaskan banyak acara bersama keluarga dan rakan-rakan demi komitmen latihan dan pertandingan.

“Paling banyak memberikan sokongan semestinya ibu bapa, keluarga terdekat, keluarga besar saya, rakan-rakan karate dan para jurulatih yang sentiasa bersama sepanjang perjalanan saya dalam sukan ini,” katanya.

Alysheron menamakan bekas atlet kebangsaan, Sensei Syarul Niza dari Labuan sebagai sumber inspirasinya kerana membuktikan wanita mampu cemerlang serentak sebagai atlet dan jurulatih.

Mengulas perancangan masa hadapan, dia amat gembira dan bersemangat untuk terus menyuntik motivasi untuk anak-anak didiknya. Dia juga berhasrat mencabar diri menyertai semula kejohanan terbuka seumpama itu pada tahun hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal