KOTA KINABALU: 25 Jun 2026 – Langkah Kementerian Perindustrian, Keusahawanan, dan Pengangkutan Sabah untuk mengatasi kesesakan di Pelabuhan Kontena Sepanggar mula menunjukkan hasil apabila tempoh menunggu berjaya dikurangkan.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata sebanyak 10 langkah diperkenalkan termasuk sistem Booking Window dan penubuhan pasukan petugas khas yang dipengerusikannya sendiri, membabitkan pemain industri, pengguna pelabuhan, ejen perkapalan, dan persatuan pengangkutan.
“Isu ini kekal keutamaan dan inisiatif berterusan dilaksana bagi meningkatkan kecekapan operasi,” katanya.
Menurutnya, projek pembesaran pelabuhan kini mencapai 61 peratus siap berbanding 26-27 peratus ketika beliau mengambil alih, dengan pemantauan mingguan demi memastikan pelaksanaan mengikut jadual.
Peningkatan jumlah kontena mencerminkan pertumbuhan ekonomi wilayah, namun kapasiti sedia ada masih tidak mencukupi.
Sehubungan itu, kementerian meneliti cadangan memindahkan operasi RoRo dari Sepanggar ke Pelabuhan Kota Kinabalu untuk menambah ruang penyimpanan kontena dan meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan.
Jelas Ewon, kementerian komited terus menambah kapasiti pelabuhan demi menyokong pertumbuhan sektor perindustrian dan perdagangan Sabah.

