Tiga ditahan atas kes pemalsuan cap imigresen

3ee39f9b 6750 46d7 a5fd 64a7a7225a37

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KAJANG: 8 November 2026 – Tiga individu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan cap keselamatan endosmen Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Tangkapan dibuat dalam operasi khas di Kajang, Selangor dan Pandan Perdana, Kuala Lumpur pada 3 November lalu.

Operasi kira-kira jam 11 pagi itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas risikan selama sebulan. Ketiga-tiga suspek berusia antara 40 hingga 45 tahun dipercayai menjadi dalang utama dan ahli sindiket.

Pihak imigresen merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti pemalsuan. Antaranya dua cap keselamatan endosmen Pas Lawatan, satu cap keselamatan endosmen keluar, dua keping getah cap keselamatan palsu, dua cap tarikh, lima pad dakwat, enam pasport Thailand, sebuah Pas Sempadan Thailand dan lima telefon bimbit.

IMG 4078

Siasatan awal mendapati sindiket menggunakan cap keselamatan endosmen Imigresen palsu yang menyerupai cap rasmi di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) untuk mengaburi pihak berkuasa.

Sindiket dipercayai menyasarkan warga asing yang tidak mempunyai pas sah atau tinggal lebih masa, khususnya warga Thailand. Perkhidmatan ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp. Setiap cap palsu dikenakan bayaran antara RM70 hingga RM100. Sindiket dipercayai mampu memperoleh keuntungan sehingga RM15,000 sebulan. Pelanggan hanya perlu menghantar pasport tanpa bersemuka untuk mengelakkan identiti mereka dikesan.

Seorang lelaki tempatan disiasat mengikut Seksyen 56(1A)(c). Dua wanita warga Thailand disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63. Kesemua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.

JIM meneruskan siasatan untuk mengenal pasti rangkaian lain yang terlibat. Usaha membanteras kegiatan pemalsuan dokumen imigresen turut dipergiat.

Sumber: JIM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal