Oleh David E.
RANAU: Pelajar muzik di Ranau mencatat pencapaian membanggakan selepas memperoleh kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Associated Board of the Royal Schools of Music (ABRSM), sekali gus membuktikan potensi anak-anak daerah itu dalam bidang seni muzik.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata kejayaan itu mencerminkan kesungguhan pelajar, dedikasi tenaga pengajar dan sokongan ibu bapa dalam membangunkan bakat muzik generasi muda.
“Pencapaian tersebut turut disusuli kejayaan pelajar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, membuktikan bahawa anak-anak dari daerah Ranau mempunyai keupayaan untuk melangkah lebih jauh apabila diberikan latihan, bimbingan dan peluang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Talent Music Ranau Student Recital 2026 di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Ranau pada Ahad. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin kelmarin.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata penganjuran edisi ke-11 itu memperlihatkan peranan penting institusi berkenaan dalam menyediakan pendidikan, latihan dan bimbingan muzik kepada generasi muda.
“Platform persembahan seperti itu bukan sahaja mengetengahkan bakat pelajar, malah membantu membina keyakinan diri, keberanian dan kematangan mereka menerusi pengalaman membuat persembahan di hadapan khalayak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan sokongan berterusan dari ibu bapa, tenaga pengajar dan masyarakat amat penting. Kerajaan Negeri turut komited menyokong usaha pembangunan bakat seni muzik di Ranau melalui kerjasama dan peluang bersesuaian untuk melahirkan lebih ramai pemuzik dan penggiat seni tempatan.
Masidi berharap Talent Music Ranau terus komited memperluas peluang pembelajaran dan persembahan muzik kepada generasi muda, sekali gus memperkayakan landskap kebudayaan daerah berkenaan.
Sumber: MOF
