Unduk Ngadau Kaamatan 2026, Sistem dua peringkat & 25 Finalis, memberi lebih ruang bersinar!

photo 2026 05 26 17 28 40

KOTA KINABALU: 26 Mei 2025 – Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Peringkat Negeri Sabah 2026 bakal tampil dengan beberapa pembaharuan signifikan, antaranya pengenalan sistem penilaian dua peringkat serta peningkatan jumlah finalis yang mara ke pusingan seterusnya.

Pengerusi Jawatankuasa UNK 2026, Dr. Mary Gambidau berkata, seramai 53 finalis yang mewakili daerah dan cawangan KDCA, termasuk dari Semenanjung Malaysia, akan berkampung di Kota Kinabalu sepanjang Minggu Unduk Ngadau sehingga malam kemuncak pada 31 Mei nanti.

Menurutnya, sebanyak 25 finalis terbaik akan dipilih ke pusingan seterusnya berbanding hanya 15 peserta pada edisi lalu.

“Langkah ini bagi membuka lebih banyak ruang kepada peserta untuk menyerlahkan potensi, personaliti dan kebolehan masing-masing sepanjang pertandingan,” katanya.

“Tahun ini kita memperkenalkan sistem penilaian dua peringkat. Penilaian awal akan dijalankan sepanjang Minggu Unduk Ngadau menerusi pelbagai aktiviti dan sesi dalaman, sebelum diteruskan dengan penilaian akhir pada malam kemuncak.”

photo 2026 05 26 17 28 44

Beliau menjelaskan bahawa pihak penganjur turut menyediakan rubrik pemarkahan khas sebagai panduan rasmi kepada juri bagi memastikan proses penghakiman lebih telus, adil dan profesional.

Sepanjang program, para finalis akan mengikuti beberapa sesi rasmi termasuk temu bual berkaitan pengetahuan budaya dan adat.

Tambahnya, pertandingan Filem Pendek CAN turut dianjurkan dengan tema “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”.

Dr. Mary menegaskan bahawa UNK bukan sekadar pertandingan, tetapi platform memperkasa wanita muda sebagai duta budaya dan warisan masyarakat Kadazandusun serta rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Pemenang UNK 2026 bakal membawa pulang wang tunai RM15,000, selain tajaan biasiswa pendidikan, saringan kesihatan, produk kecantikan dan pelbagai hadiah lain dari penaja.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan strategik, agensi, organisasi dan rakan media yang terus menyokong penganjuran UNK sehingga kekal relevan sebagai antara acara budaya paling dinantikan di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal