MAFFI teroka kepakaran AI China, rancang hantar pegawai berkursus di Universiti Sun Yat-sen

Copy of Gambar Artikel 1 20261113 172628 0000

GUANGZHOU: 13 November 2026 – Pembelajaran teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak boleh hanya bergantung pada pembacaan atau tontonan di YouTube semata-mata. Ia perlu dipelajari secara langsung, termasuk merasai pengalaman sebenar di lapangan.

Kenyataan itu disuarakan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar bagi menekankan kepentingan latihan praktikal dalam kalangan pegawai kementeriannya.

Justeru, MAFFI merancang menghantar pegawainya mengikuti latihan dan kursus AI di Universiti Sun Yat-sen, Guangzhou, China.

1003754305
Delegasi dari Sabah diberikan penjelasan mengenai teknologi AI di Universiti Sun-Yat Sen

Hasrat itu tercetus menerusi lawatan delegasi MAFFI bersama Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) ke universiti berkenaan hari ini, yang dilihat berpotensi menjadi platform pemindahan ilmu untuk memperkukuh pembangunan pertanian Sabah.

“Pembelajaran AI tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pembacaan atau melalui YouTube semata-mata. Kita perlu mendapatkan maklumat secara langsung dan merasai sendiri pengalaman mengikuti kursus dan latihan di lapangan,” katanya.

Jamawi berkata, walaupun MAFFI telah mula mengaplikasikan teknologi AI dalam beberapa aspek, penggunaannya masih belum menyeluruh dan memerlukan peningkatan kepakaran dan pendedahan lebih mendalam dalam kalangan pegawai kementerian.

Beliau berkata, penghantaran pegawai untuk mengikuti latihan secara langsung di universiti berkenaan dapat memberi pemahaman lebih praktikal mengenai pembangunan dan aplikasi AI, khususnya dalam meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor pertanian.

Presiden MCCC, Datuk Dexter Lau menyifatkan peluang kerjasama antara MCCC dan MAFFI dalam penerokaan teknologi AI sebagai permulaan kepada hubungan lebih luas yang mampu memberi manfaat kepada negeri.

“Kolaborasi berkenaan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan AI sahaja, sebaliknya boleh diperluas kepada bidang lain yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan Sabah dan membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak negeri,” katanya.

Lawatan ke Universiti Sun Yat-sen itu merupakan sebahagian daripada usaha meneroka peluang kerjasama dan perkongsian kepakaran antara Sabah dengan institusi dan pemain industri di China.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal