Kemajuan teknologi perlu dipandu nilai dan akhlak – Tun Musa

525282ba c8eb 4b84 b118 6017d4aec295

Oleh: Nuril Fazliana Norman

KOTA KINABALU: 25 Ogos 2026 – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyeru rakyat supaya memandu kemajuan teknologi dengan nilai dan akhlak mulia untuk mengelakkan penyalahgunaan teknologi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, dalam perutusan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah, hari ini.

Beliau berkata, kemajuan teknologi dan keterbukaan maklumat sememangnya membuka pelbagai peluang, namun pada masa sama membawa cabaran baharu apabila cara manusia berkomunikasi, mendapatkan maklumat dan membentuk pandangan berubah dengan pantas.

“Kemajuan teknologi ini, sewajarnya menjadi alat untuk menyebarkan ilmu, memperkukuh hubungan dan membawa manfaat kepada masyarakat, bukannya dijadikan medan untuk menyebarkan fitnah, kebencian, penghinaan mahupun perkara yang boleh merosakkan keharmonian,” katanya.

Menurut beliau, kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW tidak seharusnya terbatas kepada ungkapan dan sambutan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penghayatan terhadap ajaran, akhlak dan teladan Baginda dalam kehidupan seharian.

Katanya, Rasulullah SAW merupakan contoh teladan terbaik yang menjadi pedoman bukan sahaja dalam urusan ibadah, malah kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, kepimpinan, pentadbiran dan hubungan sesama manusia.

Beliau berkata, kekuatan sesebuah masyarakat bukan hanya bergantung kepada kemajuan fizikal dan kebendaan, sebaliknya turut dinilai melalui ketinggian akhlak, amanah, keadilan, kasih sayang dan rasa tanggungjawab terhadap sesama insan.

Dalam memastikan keharmonian terus dipelihara, Tun Musa turut menyeru rakyat Sabah supaya memperkukuh perpaduan dengan mengutamakan sikap saling menghormati, memahami dan bekerjasama dalam menghadapi kepelbagaian suku kaum, agama dan budaya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan hendaklah diurus dengan hikmah, manakala perselisihan tidak seharusnya dibiarkan menjadi permusuhan.

Beliau turut mengajak umat Islam khususnya di Sabah supaya memperbanyakkan selawat, mempelajari sirah Nabi Muhammad SAW dan berusaha mencontohi akhlak Baginda dalam kehidupan seharian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal