“Tambalut Oniniku” lahir dari inspirasi tak diduga di ITCC

Red Dark Gradient Sport Boxing Facebook Post 26

KOTA KINABALU: 29 April 2026 – Komposer lagu “Tambalut Oniniku”, Matteo Ricci Tony atau lebih dikenali sebagai Butod Bassman, menyifatkan karya tersebut sebagai pengalaman pertama menghasilkan muzik untuk lagu kanak-kanak, sekali gus membuka dimensi baharu dalam perjalanan seninya.

Menurutnya, projek itu bermula apabila penerbit Dennis Dean Patrick menghubunginya untuk menghasilkan lagu khas buat anaknya dengan konsep yang lebih sesuai untuk dunia kanak-kanak.

Katanya, beliau terus mencadangkan tema persahabatan kerana ia lebih dekat dengan jiwa dan pemahaman kanak-kanak berbanding lagu bertemakan cinta atau kegalauan.

“Konsepnya bukan lagu galau atau bertemakan cinta kerana kurang sesuai untuk kanak-kanak. Jadi saya mencadangkan lagu bertemakan sahabat,” katanya.

Butod berkata, selepas itu bermulalah kerjasama bersama Dennis yang turut menulis lirik lagu berkenaan.

Beliau mengakui, pada peringkat awal terdapat sedikit kebimbangan kerana lagu itu akan dinyanyikan oleh anak kepada penerbit sendiri, sekali gus menuntut ketepatan dari segi emosi dan jiwa melodi.

Namun katanya, inspirasi datang secara tidak disangka ketika berada di ITCC Penampang.

“Waktu itu saya sedang membeli pakaian di ITCC apabila tiba-tiba inspirasi muncul. Saya terus merakam idea itu di telefon dengan menghumming melodi yang terlintas,” katanya.

Beliau berkata, hanya dalam tempoh tiga hari selepas itu, beliau mula membangunkan projek lagu tersebut menggunakan perisian Logic Pro, sebelum terhasil fail awal “Tambalut Oniniku”.

Proses kreatif itu, katanya, diteruskan dengan cabaran tersendiri apabila beliau menyiapkan demo lagu ketika bekalan elektrik di rumah terputus.

“Walaupun begitu, kerana motivasi dan inspirasi yang kuat ketika itu, saya tetap berjaya menyiapkannya,” katanya.

Rakaman kemudiannya diteruskan di Pusakag Studio dengan bantuan Juergen Jekulen @ Odon, sebelum karya itu dimuktamadkan untuk diterbitkan oleh TV Sabah.

Butod berkata, pengalaman menghasilkan lagu tersebut memberi makna besar kerana bukan sahaja mencabar kreativitinya, tetapi juga membuka ruang baharu dalam berkarya untuk generasi muda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal