Adat Perkahwinan Dusun Tindal Tarik Perhatian di Ibu Kota

photo 2025 09 18 22 22 56

KUALA LUMPUR: 18 September 2025 – Keunikan adat perkahwinan etnik Dusun Tindal, salah satu sub-etnik Kadazan-Dusun di Sabah, menjadi tumpuan apabila dipertontonkan di ibu kota menerusi sebuah pameran budaya.

Pameran tersebut menampilkan tujuh langkah adat utama yang menjadi tunjang dalam penyempurnaan sesebuah majlis perkahwinan masyarakat berkenaan.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Dr Rosliah Kiting, acara bermula dengan perarakan pasangan pengantin sejauh kira-kira 60meter bersama ahli keluarga dan pengapit, sebelum diteruskan dengan adat Sepak Manggis yang melambangkan kekuatan serta kegagahan pengantin lelaki.

Seterusnya, upacara mencuci kaki dijalankan sebagai lambang penyucian diri dari unsur tidak baik sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

Selepas itu, pasangan pengantin menjalani acara Mi’ilang, iaitu tradisi saling menyuap makanan sebagai tanda perkongsian hidup, rezeki dan tanggungjawab bersama.

Pengantin lelaki kemudiannya menyerahkan Niliu, berupa lambang tembaga dipanggil Tasor yang disimpan dalam bekas tradisional Salapa, melambangkan kesucian dan keteguhan ikatan perkahwinan.

Adat seterusnya dikenali sebagai Pogodop, iaitu pemberian tempayan berisi tapai yang menandakan keakraban keluarga serta pengukuhan hubungan silaturahim.

Keseluruhan acara ditutup dengan Mencabut Mahligai, di mana pelbagai makanan yang disusun membentuk mahligai diagihkan kepada tetamu sebagai tanda kesyukuran.

Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan Pokugandang dan hidangan tradisional yang memperkayakan lagi suasana perayaan.

Walaupun kini persiapan perkahwinan dilakukan secara lebih ringkas berbanding dahulu, dokumentasi dan pameran adat ini diyakini mampu memastikan generasi muda terus memahami serta menghargai warisan budaya masyarakat Dusun Tindal.

Sumber: Buletin TV3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal