Permohonan tebatan banjir sungai Pegalan dikemuka semula

WhatsApp Image 2026 04 29 at 10.57.03

KOTA KINABALU : 29 April 2026 — Permohonan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pegalan akan dikemukakan semula oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah selepas tidak tersenarai dalam senarai pendek di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

Pembantu Menteri I, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Ruslan Muharam, berkata permohonan itu sebelum ini dikemukakan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) dan Rolling Plan Kedua (RP2), namun tidak dibawa ke peringkat Kementerian Ekonomi.

“JPS Sabah akan mengemukakan semula permohonan peruntukan ini pada Rolling Plan akan datang.

Sekiranya diluluskan, projek dijangka mengambil masa lima tahun melibatkan skop perkhidmatan perunding dan kerja fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Arthur Joseph Kurup (Sook) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Menurutnya, projek itu bertujuan mengurangkan kejadian banjir berulang di Kampung Ansip, Sook yang berpunca dari limpahan Sungai Sook dan Sungai Pegalan setiap kali hujan lebat.

Tambahnya lagi, langkah jangka pendek telah dilaksanakan oleh JPS Sabah melalui kerja penyelenggaraan sistem saliran bagi memastikan kelancaran aliran air.

Katanya, kerja berskala kecil turut dilaksanakan termasuk penyelenggaraan kolam takungan banjir di Kampung Ansip Pagalungan, Keningau pada Ogos 2023 untuk mempercepatkan pengaliran keluar air banjir apabila paras sungai surut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal