TAWAU: 8 Mei 2026 – Satu rangkaian sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa berjaya dilumpuhkan menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan rampasan dadah bernilai RM16.34 juta di daerah ini.
Operasi bernama “Op Hymenoptera” itu dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara JSJN Bukit Aman dan beberapa agensi penguat kuasa lain menerusi dua siri serbuan berasingan pada 21 April dan 1 Mei lalu.
Pengarah JSJN PDRM, Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dilakukan di Batu 15, Jalan Apas selepas pihak polis menahan sebuah Toyota Harrier yang dinaiki dua lelaki tempatan berusia antara 36 hingga 52 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan 128 paket plastik lutsinar mengandungi metamphetamine seberat lebih kurang 130.60 kilogram.
Susulan tangkapan itu, pasukan operasi melancarkan serbuan lanjutan di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas membabitkan dua lagi kenderaan iaitu Nissan Sylphy dan Toyota Camry.
Pemeriksaan terhadap Nissan Sylphy menemukan 85 bungkusan metamphetamine seberat 90.41 kilogram, selain 488 kartrij mengandungi cecair dadah jenis fentanyl sebanyak 0.98 liter.
Sementara itu, Toyota Camry yang diperiksa turut membawa kepada penemuan 99 bungkusan metamphetamine dengan berat keseluruhan 102.90 kilogram.
Secara keseluruhan, pihak berkuasa berjaya merampas 323.91 kilogram metamphetamine dan 0.98 liter fentanyl yang boleh menjejaskan kira-kira 1.58 juta pengguna.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan kenderaan terpakai yang diubah suai dengan ruang rahsia untuk menyembunyikan dadah sebelum diedarkan di Sabah.
Menurut Hussein, salah seorang suspek bertindak sebagai penghantar dadah manakala seorang lagi dikenal pasti sebagai ahli utama sindiket yang aktif sejak awal tahun ini.
Ujian saringan awal air kencing terhadap salah seorang suspek turut mendapati lelaki berkenaan positif metamphetamine dan amphetamine.
Dalam operasi sama, polis turut menyita aset bernilai RM34,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, termasuk sebuah Volkswagen Passat, motosikal Yamaha Y16ZR dan wang tunai RM8,000.
Semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai enam rekod jenayah termasuk lima kes berkaitan dadah, manakala seorang lagi mempunyai dua rekod kesalahan jenayah.
Kedua-dua suspek telah didakwa di mahkamah pada 6 Mei lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.
PDRM menegaskan komitmen berterusan untuk memperhebat operasi risikan dan penguat kuasaan dalam usaha membanteras rangkaian sindiket dadah yang cuba menjadikan Sabah sebagai pusat transit dan pengedaran bahan terlarang.
