TAWAU: 4 November 2025 – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di kawasan Batu 2, Jalan Apas pada 26 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata, mangsa keluar rumah sekitar jam 8.30 malam dengan alasan mahu berjumpa rakan, namun sebenarnya bertemu dengan suspek yang dikenalinya.
Mangsa pulang dalam keadaan trauma sebelum memaklumkan kepada ibunya bahawa dia telah dipaksa menaiki kereta dan dirogol di lokasi berkenaan.
Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau melancarkan operasi mengesan suspek dan berjaya menahannya di perkarangan Lapangan Terbang Tawau kira-kira jam 1 tengah hari tadi.
Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
ACP Jasmin turut menasihati ibu bapa dan penjaga bagi memantau pergerakan dan perubahan tingkah laku anak-anak serta memberi perhatian terhadap siapa mereka bergaul, bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang kembali.
Sumber: Polis Daerah Tawau

