Lelaki warga asing ditahan beberapa jam selepas cubaan membunuh wanita di Penampang

Gambar Kes Tetak Penampang

PENAMPANG: 8 Mei 2026 – Polis berjaya menyelesaikan kes cubaan membunuh seorang wanita di Kampung Tuntulok, Nosoob, selepas menahan suspek utama hanya beberapa jam selepas kejadian berlaku.

Dalam kejadian pada tengah hari 7 Mei, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan leher akibat diserang menggunakan senjata tajam di sebuah rumah tidak bernombor.

Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa ketika itu berada di rumah bersama seorang kanak-kanak lelaki yang dijaganya, manakala kakak ipar mangsa keluar bekerja.

Menurut beliau, suspek dipercayai datang ke rumah tersebut untuk menuntut baki bayaran kerja membaiki paip dari ahli keluarga mangsa sebelum berlakunya pertengkaran.

Keadaan menjadi tegang setelah suspek merampas sebilah pisau yang sedang digunakan mangsa di dapur, kemudian bertindak menyerang wanita berkenaan.

Mangsa ditolak ke dinding tandas sehingga mengalami luka tetakan di bahagian kiri kepala dan kecederaan pada leher.

Suspek melarikan diri sejurus selepas kejadian, manakala mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Pemeriksaan pihak perubatan mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil walaupun mengalami beberapa kecederaan serius.

Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama pegawai penyiasat turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

Bertindak atas maklumat risikan, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun di kawasan semak berhampiran Jalan Pekan Kinarut Lama, Papar pada jam 5.50 petang hari yang sama.

Hasil semakan mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal