Sebelum mengubah filem, ubahlah cara kita berfikir

IMG 8421

Oleh: Roodwill

KOTA KINABALU: Menurut pengarah dan penulis skrip, William Chiang, perubahan dalam industri filem tidak bermula dengan kamera, bajet atau teknologi. Sebaliknya, pembikin filem perlu berani mengubah cara mereka berfikir dan melihat dunia sebelum menghasilkan sebuah karya yang benar-benar memberi kesan.

“Bagi saya, kita perlu keluar dari tempurung. Kalau mahu industri kreatif bergerak ke hadapan, kita juga perlu mengubah cara kita berfikir.”

WhatsApp Image 2026 06 27 at 23.59.36

Beliau berkata demikian kepada Wartawan selepas Bengkel Dari Skrip ke Pawagam: Kaedah dan Proses anjuran Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA).

Cerita terbaik datang daripada pengalaman sendiri

Bagi William, asas kepada sebuah skrip yang baik bukan bermula dengan imaginasi.

“Cara yang paling asli untuk menulis skrip adalah dengan menceritakan pengalaman sendiri. Melalui pengalaman itulah kita dapat memahami sesuatu cerita secara lebih terperinci kerana kita pernah mengalaminya sendiri.”

Menurutnya, apabila seseorang benar-benar memahami cerita yang ingin disampaikan, lebih mudah untuk menterjemahkannya dalam bentuk skrip.

Beliau turut tertarik dengan perkongsian Profesor Zairul Anwar yang mengingatkan titik permulaan penulisan.

“Kita perlu kembali ke tempat asal kita. Pada saya, itulah permulaan yang paling baik.”

“Kita perlu mengenali diri sendiri terlebih dahulu. Kita perlu memahami cerita hidup kita sendiri sebelum cuba menceritakan kisah orang lain.”

Bukan bajet, tetapi cara kita bercerita

Bagi William, perbezaan utama antara filem tempatan dan filem luar negara bukan terletak pada bajet atau teknologi. Sebaliknya, ia bergantung kepada cara sesebuah cerita diterjemahkan dari skrip ke layar.

“Kebanyakan cerita yang kita hasilkan sebenarnya tidak jauh berbeza dengan cerita di luar negara. Yang membezakan ialah cara cerita itu disampaikan.”

Menurutnya, pembikin filem tempatan perlu memberi perhatian kepada cara penceritaan, sama ada menggunakan struktur linear atau bukan linear, supaya cerita yang dihasilkan benar-benar dapat memenuhi cita rasa penonton.

“Saya melihat kebanyakan filem kita masih belum benar-benar memenuhi cita rasa penonton yang datang ke pawagam.”

“Saya rasa kita memerlukan lebih ramai individu yang pernah berkecimpung dalam industri filem di luar negara atau terlibat dalam pembikinan filem bertaraf antarabangsa untuk berkongsi pengalaman mereka.”

Menurut William, kekuatan sesebuah filem akhirnya bergantung kepada bagaimana cerita itu diterjemahkan daripada skrip ke lakon layar.

“Lakon layar ialah medium yang menghidupkan sesebuah cerita. Segala yang ditulis dalam skrip akan diterjemahkan ke dalam lakon layar sebelum dipersembahkan kepada penonton di pawagam.”

Penulis skrip perlu diberi lebih ruang

William berpandangan Malaysia sebenarnya tidak ketandusan cerita yang baik. Namun, hasil akhirnya sering kali tidak memenuhi jangkaan penonton apabila diterjemahkan ke layar.

“Mungkin ada yang berpunca dari faktor bajet, tetapi pada saya isu utamanya ialah bagaimana cerita itu diterjemahkan dari skrip kepada filem.”

“Saya rasa penulis skrip perlu diberikan lebih banyak ruang untuk menyuarakan pandangan mereka tentang cerita yang dihasilkan, termasuk pemilihan watak, perkembangan cerita dan bagaimana skrip itu diterjemahkan sehingga ke layar.”

Baginya, apabila penulis diberi ruang untuk bersama-sama membangunkan sesebuah karya, cerita yang dihasilkan lebih berpotensi memenuhi jangkaan penonton.

Industri filem Sabah perlu berani keluar dari “tempurung”

Mengulas perkembangan industri filem Sabah, William berpandangan banyak perubahan positif telah berlaku sejak sedekad lalu. Namun, menurutnya, cabaran sebenar ialah bagaimana membawa industri itu ke tahap yang lebih tinggi.

“Kalau melihat kepada perkembangan sepanjang 10 tahun yang lalu, saya rasa industri filem Sabah sebenarnya telah berkembang dengan cukup pesat. Kemajuannya memang jelas.”

Bagaimanapun, beliau berkata pemain industri perlu berani menilai kelemahan sendiri sebelum memikirkan langkah seterusnya.

“Persoalannya ialah bagaimana kita hendak melepasi tahap yang ada sekarang. Kita perlu mengenal pasti kelemahan kita terlebih dahulu. Apabila kita tahu di mana kelemahan itu, barulah kita tahu bagaimana hendak berkembang.”

Menurutnya, antara perkara yang perlu diubah ialah kecenderungan untuk kekal dalam kelompok yang sama.

“Kita perlu keluar dari kelompok dan cara berfikir yang sama. Kadang-kadang kita terlalu selesa berada dalam lingkungan sendiri sehingga hanya berkongsi idea dan pandangan yang sama.”

Perubahan bermula daripada cara kita berfikir

Bagi William, “tempurung” yang dimaksudkannya bukan sekadar berada dalam kelompok sendiri, tetapi cara berfikir yang masih dibentuk oleh pemikiran lama.

“Kadang-kadang kita masih dipengaruhi oleh satu bentuk pemikiran yang saya sebut sebagai pemikiran kolonial.”

Menurutnya, penjajahan yang dimaksudkan bukan lagi berbentuk fizikal, sebaliknya cara masyarakat melihat dunia dan menghasilkan karya.

“Kolonialisme yang sebenar ialah kolonialisme terhadap fikiran. Ia bukan bermaksud masih ada pihak yang mengawal kita pada hari ini, tetapi cara kita melihat dunia masih dipengaruhi oleh pemikiran yang diwarisi sejak dahulu.”

Katanya, dalam dunia seni, segala-galanya bermula dari cara seseorang berfikir.

“Cara kita berfikir akan menentukan bagaimana kita berkarya. Jika kita mahu industri kreatif kita bergerak ke hadapan, maka kita juga perlu mengubah cara kita berfikir.”

Beliau mengakui bukan mudah untuk keluar dari kerangka tersebut kerana kehidupan seharian turut mempengaruhi cara seseorang melihat dirinya sendiri.

“Setiap hari kita dipengaruhi oleh pelbagai perkara seperti berita politik, keadaan sekeliling, keluarga dan kehidupan harian. Semua pengalaman itu membentuk persepsi kita sehingga kadang-kadang kita merasakan diri kita serba kekurangan.”

Menurut William, setiap individu perlu berani mencari jalan sendiri sekiranya mahu menghasilkan karya yang lebih baik.

“Kita perlu berani memisahkan diri dari cara berfikir itu dan mencari jalan sendiri. Jalan itu sentiasa ada. Cuma setiap individu perlu mencari jalannya masing-masing.”

Industri hanya berkembang apabila bergerak bersama

Melihat 10 tahun akan datang, William percaya industri kreatif Sabah mempunyai potensi besar untuk berkembang. Namun, menurutnya, perubahan itu hanya akan berlaku sekiranya pemain industri sanggup bekerjasama dan saling menyokong.

“Kita mesti bergabung. Kita tidak boleh bergerak secara bersendirian atau beranggapan bahawa cara kita sahaja yang betul sehingga tidak mahu bekerjasama dengan orang lain.”

Katanya, program seperti yang dianjurkan SAFVA bukan sekadar bengkel, tetapi usaha membina sebuah ekosistem industri yang lebih kukuh.

“Program seperti ini bukan sekadar mengadakan satu aktiviti, tetapi untuk mempersiapkan kita menghadapi masa depan industri kreatif.”

“Kita perlu melihat diri kita sebagai satu komuniti, bukannya individu yang bergerak sendiri-sendiri.”

Menurutnya, jika semua pihak mampu bergabung, industri filem Sabah tidak perlu menunggu sehingga 10 tahun untuk melihat perubahan.

“Kalau boleh, dalam tempoh lima tahun akan datang kita sudah dapat melihat perubahan yang ketara. Sepuluh tahun terlalu lama.”

Yang kurang bukan aktiviti, tetapi sokongan

William berpandangan Sabah sebenarnya tidak kekurangan bengkel atau program pembangunan industri.

Sebaliknya, cabaran utama ialah mendapatkan penyertaan dan sokongan dari pemain industri sendiri.

“Sebenarnya, saya rasa kita bukan kekurangan aktiviti. Aktiviti memang banyak.”

“Persoalannya ialah, adakah pemain industri dan golongan seni benar-benar bersedia untuk bersama-sama menyokong aktiviti tersebut?”

“Bukan sahaja program yang dianjurkan oleh kami, tetapi juga program yang dianjurkan oleh organisasi, persatuan atau syarikat lain.”

Beliau menggalakkan penggiat seni melibatkan diri dalam pelbagai bidang kreatif kerana semuanya saling berkait dalam membentuk ekosistem seni yang lebih kukuh.

“Kalau ada program muzik, puisi, sastera atau seni lain, kita juga perlu melibatkan diri kerana semuanya berada dalam ekosistem seni yang sama. Kita perlu saling mendukung.”

Pembikin filem perlu memahami manusia, bukan sekadar kamera

Bagi William, menghasilkan filem bukan sekadar mempelajari teknik penggambaran atau menghasilkan visual yang menarik. Sebaliknya, pembikin filem perlu sentiasa menimba ilmu dari pelbagai bidang.

“Kita perlu membaca. Kita perlu melihat bagaimana orang lain bercerita.”

Menurutnya, pembikin filem tidak seharusnya mengehadkan diri kepada dunia perfileman semata-mata.

Sebaliknya, mereka perlu mendekati bidang lain seperti muzik, puisi dan sastera kerana setiap satunya menawarkan perspektif yang berbeza tentang penceritaan.

“Pergilah melihat industri muzik kerana filem juga memerlukan muzik. Berjumpalah dengan para sasterawan kerana mereka mempunyai cara bercerita yang sangat mendalam.”

Katanya, dari golongan itu, pembikin filem boleh mempelajari bagaimana sesuatu cerita dibina dengan emosi dan makna yang lebih kuat.

Visual yang cantik sahaja tidak mencukupi

William berkata, perkembangan media sosial hari ini memudahkan orang ramai menghasilkan video yang menarik dari segi visual. Namun, baginya, visual semata-mata tidak cukup untuk menghasilkan karya yang benar-benar memberi kesan.

“Hari ini kita boleh melihat banyak video di YouTube atau TikTok yang mempunyai visual yang cantik. Tetapi kadang-kadang ia hanya cantik dari segi gambar. Ia tidak mempunyai makna yang mendalam.”

Menurutnya, sesebuah filem perlu menawarkan lebih daripada sekadar imej yang indah.

“Sebagai pembikin filem, kita perlu pergi lebih dalam daripada itu. Kita perlu menghasilkan cerita yang bukan sahaja indah dipandang, tetapi mempunyai makna.”

Beliau berkata, apabila penonton meninggalkan pawagam, mereka seharusnya bukan sekadar mengingati visual yang dipaparkan, tetapi turut memahami cerita dan mesej yang ingin disampaikan.

Semuanya bermula dari fikiran

Bagi William, setiap bentuk seni lahir dari sumber yang sama, iaitu cara seseorang berfikir.

“Sebenarnya kita semua menggunakan perkara yang sama, iaitu fikiran. Bezanya hanyalah bagaimana kita mengekspresikan fikiran tersebut.”

Katanya, ada yang memilih filem, ada yang menulis, dan ada yang menyampaikan cerita melalui muzik. Namun, matlamatnya tetap sama, iaitu berkongsi sebuah cerita yang mampu menyentuh manusia.

“Ada orang meluahkannya melalui video. Ada orang melalui penulisan. Ada orang melalui muzik. Tetapi sumbernya tetap sama. Yang berbeza hanyalah medium yang digunakan untuk menyampaikan cerita.”

Beliau percaya apa jua bidang seni yang dipilih, semuanya menuntut pengorbanan, disiplin dan kerja keras yang sama.

“Akhirnya, apa juga bentuk seni yang kita pilih, semuanya memerlukan pengorbanan, disiplin dan kerja keras yang sama.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal