Harga Ayam, Telur Sabah Mahal Akibat 98% Import Makanan Ternakan – Jamawi

ab06dc3a b963 4ab8 a1bc 473825ecd2b2

KOTA KINABALU: Harga ayam dan telur di Sabah yang lebih mahal berbanding Semenanjung berpunca dari kebergantungan tinggi terhadap import makanan ternakan yang mencecah 98%.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, makanan ternakan khususnya jagung menyumbang antara 60 hingga 70% kos pengeluaran ayam dan telur di negeri ini.

Menurutnya, apabila sebahagian besar bekalan jagung diimport, sebarang kenaikan kos logistik dan pengangkutan laut akan memberi kesan langsung kepada harga pasaran.

“Kita tidak boleh bilang mahu turunkan harga ayam kalau kos makanan ternakan tidak turun. Kita kena kenal pasti punca dan ambil langkah penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama pengamal media di Kupi-Kupi, Waterfront Todak, di sini, semalam.

Bagi menangani isu itu, Jamawi berkata kerajaan menerima RM25 juta peruntukan untuk membuka sekurang-kurangnya 1,000 ekar ladang jagung komersial di Sabah tahun ini.

Katanya, projek itu dijangka membantu mengurangkan kebergantungan import selain menstabilkan harga ayam dan telur dalam jangka panjang.

Menurut beliau, jika sasaran itu dicapai, kadar sara diri makanan ternakan Sabah boleh meningkat kepada sekitar 20 peratus tahun ini.

Dalam masa sama, kementerian akan meneruskan Program Jelajah Kebun Dapur bermula 1 Mei ini di Papar sempena Pesta Kaamatan.

Antara tawaran kepada rakyat ialah benih sayuran percuma, anak pokok buah-buahan harga diskaun, anak ayam penelur dan ayam daging diskaun 50 peratus, selain jualan anak ikan dan nenas MD2 pada harga promosi.

Jamawi berkata, program itu bertujuan menggalakkan isi rumah menanam sayur dan buah-buahan dan menternak ayam secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan keluarga.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri mengaktifkan 25 pusat pengumpulan hasil pertanian di setiap Parlimen menerusi Sabah Agriculture Marketing Authority (SAMA) bagi membantu pemasaran hasil petani terutama ketika musim lambakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal