KOTA KINABALU: 30 April 2026 – Sandakan terus diperkasa sebagai destinasi eko-pelancongan utama Sabah dengan peruntukan RM7.65 juta untuk menaik taraf kemudahan pelancongan sepanjang 2024 dan 2025.
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Pelancongan Sabah turut mempergiat promosi dan pemasaran termasuk di peringkat antarabangsa, selain memperkukuh penganjuran acara pelancongan dan lawatan suai kenal ke daerah itu.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.
“Sandakan hingga ke Kinabatangan merupakan antara destinasi pelancongan yang popular, khususnya dalam kalangan pelancong dari Eropah dan Australia berikutan kekayaan biodiversiti dan nilai warisan yang unik,” katanya.
Menurutnya, Sandakan diposisikan sebagai destinasi berteraskan alam semula jadi dan warisan yang melengkapi Kota Kinabalu sebagai pintu masuk utama dan Semporna sebagai destinasi pulau dan selaman.
Beliau berkata, antara inisiatif dilaksanakan termasuk penyertaan dalam pameran pelancongan seperti MATTA Fair, World Travel Market, ITB Berlin dan OTM Mumbai, selain enam lawatan suai kenal ke Sandakan dirancang pada 2026 melibatkan media, pempengaruh dan ejen pelancongan.
Katanya, kerajaan turut melaksanakan kempen digital dan menyokong acara berimpak tinggi seperti Hari Peringatan ANZAC, Hari Peringatan Sandakan, Borneo Sevens Rugby Tournament, Sepilok Jazz Festival dan Borneo Bird Festival.
“Kerajaan akan terus meneliti pembangunan produk eko-pelancongan termasuk aspek kemudahan, penjenamaan dan pakej pelancongan untuk memastikan Sandakan kekal berdaya saing dan lestari,” katanya.
Sebagai persediaan Tahun Melawat Sabah 2027, kalendar pelancongan khas Sandakan turut diselaraskan untuk memudahkan pelancong mendapatkan maklumat berkaitan acara dan perayaan tempatan.
