Pesta Kaamatan, kekal wadah penting perkukuh perpaduan – Hajiji

Joneston1

TUARAN: 9 Mei 2026 – Sambutan Pesta Kaamatan kekal sebagai wadah penting untuk memperkukuhkan perpaduan, menyemai semangat kekitaan, di samping mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat Sabah.

“Pesta ini bukan sahaja untuk kita meraikan warisan budaya. Marilah kita bersama-sama mengambil iktibar dari sambutan ini dengan terus memupuk nilai kebersamaan, saling menghormati, seterusnya bekerjasama sebagai satu keluarga besar,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.

Menurutnya, tema perayaan pada tahun ini iaitu Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian menzahirkan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan etnik.

Memetik nilai-nilai tema ini, Hajiji berkata amat penting untuk semua terus mengekalkan perpaduan dan kestabilan politik kerana ia mampu membawa kemajuan dan pembangunan Sabah.

“Dengan terbentuknya Kerajaan Negeri yang baharu bagi penggal kedua pada November lalu, agenda pembangunan yang holistik berteraskan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, iaitu lanjutan Dasar Hala Tuju SMJ 1.0, akan menjadi panduan dan landasan dalam membawa Sabah ke mercu kejayaan,” katanya, dan bahawa kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 menunjukkan pendekatan Kerajaan sejak lima tahun lalu berada pada landasan tepat.

“Justeru, Pelan Pembangunan SMJ 2.0 merupakan lanjutan yang menuntut perubahan yang berterusan dalam mempertingkatkan keupayaan diri, merangkumi perubahan cara berfikir, seterusnya cara bekerja, di samping mencipta nilai baharu untuk kemajuan dan pembangunan yang berterusan,” katanya.

Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh ekonomi melalui pemerkasaan sektor utama seperti pertanian, pelancongan, perindustrian, turut meliputi ekonomi digital. Kerajaan juga akan memperkasa pembangunan modal insan melalui peningkatan pendidikan, kemahiran, mahupun kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.

Beliau berkata sambutan Pesta Kaamatan sememangnya amat signifikan dengan usaha kerajaan negeri untuk memartabatkan kekayaan warisan kebudayaan dan keseniaan rakyat tempatan.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sambutan dan perayaan kebudayaan serta keagamaan. Ini kerana kita percaya bahawa program seperti ini dapat memantapkan lagi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum di Sabah.

“Sebab itu, Pesta Kaamatan bukan saja perayaan yang sangat penting bagi masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus, malah turut diraikan oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Hajiji berharap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama akan terus mengeratkan perpaduan, saling menghormati, di samping tidak mudah percaya dengan anasir-anasir yang boleh memudaratkan perpaduan yang dikecapi selama ini.

“Apa yang penting, teruskan sokongan kepada kerajaan agar lebih banyak lagi pembangunan dibawa ke negeri ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal