KOTA KINABALU : 30 April 2026 – Festival kulinari berprestij, The Signature Food Fest (TSFF) kembali dianjurkan selepas sembilan tahun, dengan edisi kelima pada 2026 mencatat penyertaan terbesar setakat ini melibatkan 16 premis makanan dan hospitaliti di Sabah.
Kembalinya TSFF selari dengan kempen Visit Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh promosi gastronomi dan pelancongan negeri melalui kolaborasi strategik serta penglibatan industri tempatan.
Festival yang mula diperkenalkan pada 2014 itu kini dihidupkan semula dengan penambahbaikan termasuk pengiktirafan anugerah lebih meluas, kerjasama industri yang lebih besar dan integrasi pelancongan yang lebih kukuh.
Edisi kali ini turut menampilkan panel juri berpengalaman termasuk Datuk Gordon Leong dan Rory Richardson, selain disertai Adjunct Prof. Jessie Jong dan wakil media dari TVSabah.
Acara utama berlangsung dari 1 hingga 3 Mei di Riverson – The Walk menerusi “Signature Showcase” yang menampilkan hidangan istimewa, persembahan muzik, aktiviti keluarga dan zon kanak-kanak. Sepanjang bulan Mei pula, kempen “Signature Menu Promotion” dan sesi penjurian rasmi akan diadakan di semua premis terlibat, sebelum kemuncak Malam Anugerah pada 5 Jun di Grandis Hotels & Resorts.
Sebanyak empat kategori utama dipertandingkan iaitu bistro, kafe/kopitiam, hotel dan restoran, dengan penyertaan melibatkan jenama tempatan dan hotel antarabangsa termasuk Grandis Hotels & Resorts, Le Meridien Kota Kinabalu dan Sheraton Kota Kinabalu.
Selain itu, kempen “Dine, Win & Vote” turut diteruskan bagi menggalakkan penglibatan orang ramai, dengan 10,000 borang penyertaan diedarkan kepada pengunjung yang menikmati menu signature di premis terlibat.
Penganjuran TSFF 2026 juga berkolaborasi dengan SO GOOD FLEA MARKET bagi menggabungkan elemen kulinari, keusahawanan, seni kreatif dan promosi budaya Sabah dalam satu platform.
Festival ini dijangka menjadi antara tarikan utama sempena musim Kaamatan, sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi gastronomi dan pelancongan utama negara.
