Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KUALA LUMPUR: 17 Ogos 2026 – Polis merampas rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai bernilai RM1.49 juta dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Lumpur, Selangor dan Petaling Jaya, semalam. Dua lelaki tempatan berusia 20 dan 22 tahun ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai penghantar bekalan haram itu.
Serbuan pertama di Sentosa, Kuala Lumpur pada pukul 3 petang membawa kepada penahanan seorang suspek berusia 20 tahun. Pemeriksaan ke atas kenderaannya menemui beberapa kotak rokok tanpa tanda cukai kastam.
Hasil risikan dari tangkapan pertama, pasukan operasi bergerak ke sebuah premis di Semenyih, Selangor yang dijadikan stor sementara sebelum rokok diedarkan ke pasaran sekitar ibu negara.
Di lokasi kedua, pihak berkuasa menemui stok lebih besar membabitkan jenama John JDB, John JDB Superslims, Zon King, Canyon Premium, Canyon Blast, La Bold, Gajah Baru International, Clas Mild dan LA Ice.
Serbuan ketiga di Damansara Damai, Petaling Jaya pada pukul 3.30 petang menyaksikan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun ditahan. Polis turut menyita dua kenderaan mewah jenama Toyota Vellfire dan Toyota Alphard yang digunakan untuk pengangkutan.
Nilai rampasan mengikut setiap lokasi ialah RM360,400, RM911,680 dan RM219,413, menjadikan jumlah keseluruhan RM1,492,223. Selain itu, telefon bimbit dan wang tunai RM26,415 turut dirampas.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek aktif dalam kegiatan penghantaran rokok selama empat hingga enam bulan. Mereka kini direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Komander WCB/PSK, SAC Mohd Zaki bin Ashar menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyeludupan, perdagangan haram hidupan liar mahupun jenayah rentas sempadan.
Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 16 Ogos 2026, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melancarkan 237 serbuan di seluruh negara dengan 411 individu ditahan atas pelbagai kesalahan. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dalam tempoh itu dianggarkan RM312,523,899.64.
Sumber: WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman

