Pengesanan awal penting elak penyakit vaskular menjadi serius – Julita

2b59cd1f 5e52 4d96 b9a6 7e041e96b844 490AF533 7E93 4EDC BA9A 8645ACA197D6

KOTA KINABALU: 21 September 2026 – Rakyat Sabah digesa menjalani saringan awal untuk penyakit vaskular, khususnya golongan berisiko, kerana penyakit berkenaan boleh berlaku tanpa disedari sebelum menjadi serius atau mengancam nyawa.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata pengesanan awal penting kerana penyakit vaskular tidak semestinya menunjukkan gejala yang jelas.

ff486d9f 09d3 414d a34a 09a9a77e1b03 859B0FAB A9E1 4611 8C72 8D36A767F889

Antara tanda amaran yang perlu diberi perhatian termasuk sakit atau kekejangan pada kaki ketika berjalan, kaki terasa sejuk atau kebas, perubahan warna kulit, bengkak dan luka yang lambat sembuh.

“Jangan menganggap tanda-tanda ini sebagai sesuatu yang normal hanya kerana faktor usia. Sekiranya terdapat perubahan yang luar biasa, dapatkan pemeriksaan perubatan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Kesedaran Penyakit Vaskular di Hospital Queen Elizabeth II, di sini, hari ini.

Tambah beliau, antara keadaan yang diberi perhatian menerusi kempen itu ialah aneurisma aorta abdominal (AAA), iaitu keadaan yang menyebabkan bahagian dinding aorta yang lemah membesar atau mengembung, manakala aorta ialah salur darah utama yang membawa darah dari jantung ke seluruh tubuh.

Menurut beliau, AAA boleh berlaku tanpa menunjukkan gejala yang jelas, namun boleh mengancam nyawa sekiranya aneurisma berkenaan pecah dan menyebabkan pendarahan dalaman yang serius.

Kempen itu turut menyediakan saringan untuk AAA dan penyakit arteri periferi (PAD) sebagai usaha menggalakkan pengesanan awal.

Beliau berkata PAD berlaku jika saluran darah yang membekalkan anggota badan, khususnya kaki, menjadi sempit atau tersumbat.

Antara gejalanya termasuk sakit pada kaki ketika berjalan, kaki terasa sejuk atau kebas, perubahan warna kulit dan luka yang lambat sembuh.

Justeru, Julita menggesa orang ramai mengurangkan risiko penyakit vaskular dengan berhenti merokok, mengawal tekanan darah, paras gula dalam darah dan tahap kolesterol.

Orang ramai juga disaran mengekalkan berat badan yang sihat, mengamalkan pemakanan seimbang dan kekal aktif secara fizikal.

“Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi serius. Kenali tubuh anda, kenal pasti tanda-tanda amaran dan ambil tindakan lebih awal,” katanya.

Jelas beliau, Kerajaan Sabah akan terus menyokong usaha menyediakan maklumat kesihatan yang tepat, saringan yang bersesuaian dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

Turut hadir Pengarah Hospital Queen Elizabeth II, Dr. Ferro Firdaus Ibrahim dan Pakar Perunding Bedah Vaskular dan Endovaskular, Datuk Dr. Benjamin Leong Dak Keung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal