oleh David E.
PAPAR: 28 Julai 2026 – Kesesakan lalu lintas di Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar bakal terurai menerusi projek menaik taraf Jalan Lok Kawi bernilai RM70.6 juta.
Projek sepanjang 1.3 kilometer ini menaik taraf jalan dua lorong kepada empat lorong dua hala untuk kelancaran pergerakan harian ribuan pengguna. Keutamaan projek ini diberikan kepada keselamatan pengguna, terutamanya murid dan pejalan kaki.
Kemudahan disediakan merangkumi jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas, dan perlindungan motosikal yang menjadikan perjalanan ke sekolah lebih selamat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pembangunan ini membuktikan kerajaan mendengar keluhan rakyat terhadap kesesakan, terutamanya pada waktu puncak.

“Sebagai kerajaan, kita sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut, di WSG Kinarut Show Gallery, hari ini.
Beliau menegaskan kelulusan projek itu menunjukkan suara rakyat Sabah mengenai keperluan mobiliti diberi perhatian serius.
Ia juga selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam merangsang pelaburan dan pelancongan, di samping mengurangkan masa perjalanan.
Setelah Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya kelak, Papar berpotensi menjadi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak.
Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan memastikan urusan pengambilan tanah dan pengalihan utiliti berjalan lancar melalui kerjasama erat agensi Persekutuan dan negeri.

Dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar Ke-2 dan kerja tebatan banjir, yang dipohon oleh Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, sebagai manfaat tambahan kepada rakyat setempat.

