TELUPID: 1 Ogos 2026 – Program Penggalakan & Apresiasi Kesenian Peringkat Daerah Telupid/Tongod 2026 yang diadakan pada 29 Julai menjadi platform memperluas penyertaan murid dalam bidang seni sekali gus menggalakkan generasi yang kreatif, berkeyakinan dan berketerampilan.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Telupid/Tongod, Jamain Bakut berkata, program yang menghimpunkan 72 murid dan 41 fasilitator kesenian itu bukan sahaja mencungkil bakat, malah membentuk sahsiah, disiplin, kepimpinan dan semangat kerjasama dalam kalangan peserta.
“Program ini memberi ruang kepada murid meneroka potensi diri dan saya berharap ia terus menjadi platform melahirkan murid yang cemerlang dalam akademik dan memiliki bakat, kreativiti dan nilai kepimpinan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Sementara itu, Penyelaras Program, Junainah Semion berkata, program tersebut dianjurkan untuk menggalakkan lebih banyak sekolah menyertai aktiviti kesenian anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di samping memberi pengiktirafan kepada guru, pegawai teknikal dan murid yang mengharumkan nama daerah.
Beliau berkata, pencapaian murid Telupid/Tongod terus menunjukkan peningkatan selepas berjaya mengekalkan kejuaraan pertandingan filem pendek sekolah rendah peringkat negeri Sabah pada 2026, selain filem pendek sekolah menengah mara ke peringkat kebangsaan dan pasukan nyanyian duo muncul johan negeri sebelum meraih tempat ketiga kebangsaan.

“Kita bukan sahaja berjaya mengekalkan pencapaian, malah menambah kejayaan baharu. Kini kami menunggu keputusan pertandingan filem pendek peringkat kebangsaan,” katanya.
Menurutnya, penyertaan murid dalam bidang seni visual seperti reka bentuk, seni cetakan, kolaj dan busana masih perlu dipertingkatkan kerana bidang berkenaan mampu membuka peluang kerjaya pada masa hadapan.
Junainah berkata, murid yang mencipta kejayaan dalam pelbagai pertandingan kesenian akan mengadakan persembahan sempena program terbuka PPD Telupid/Tongod pada 22 Ogos depan sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka.

