KOTA KINABALU: 29 April 2026 – Penggunaan istilah “Negeri Sabah” disifatkan tidak tepat dan perlu digugurkan kerana Sabah bukan setaraf dengan negeri-negeri di Semenanjung.
ADUN Tambunan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, Sabah adalah antara entiti pengasas Malaysia dan wajar dirujuk tanpa istilah “Negeri”.
Menurutnya, pindaan Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada Disember 2021 telah mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang membentuk Malaysia bersama Tanah Melayu pada 1963.
“Penggunaan istilah ‘Negeri Sabah’ dan ‘Negeri’ untuk merujuk Sabah adalah kurang tepat dan harus digugurkan,” katanya ketika membahas Ucapan Dasar Kerajaan 2026 di Dewan Undangan Sabah, hari ini.
Beliau berkata, perubahan penggunaan istilah itu telah mula dilaksanakan di peringkat Dewan apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) kini dikenali sebagai Dewan Undangan Sabah (DUS).
Sehubungan itu, beliau mengusulkan supaya kerajaan negeri menggunakan istilah “Kerajaan Sabah” dan bukan “Kerajaan Negeri Sabah”, selain merujuk Sabah tanpa penggunaan perkataan “Negeri” dalam semua urusan rasmi.
Jeffrey berkata, langkah itu penting untuk mengekalkan dan mengiktiraf kedudukan Sabah sebagai pengasas Persekutuan Malaysia bersama Tanah Melayu dan Sarawak.
Menurutnya, dalam Proklamasi Malaysia pada 16 September 1963, Sabah dirujuk sebagai “Negara”, manakala dalam Perlembagaan sebelum 1976, Yang di-Pertua Negeri dikenali sebagai Yang di-Pertua Negara Sabah.
Katanya, cadangan itu bukan bersifat konfrontasi terhadap Kerajaan Persekutuan, sebaliknya bertujuan memperbetulkan kedudukan sebenar Sabah berdasarkan sejarah dan perlembagaan.
Beliau turut merujuk titah Yang di-Pertuan Agong yang menegaskan pembentukan Malaysia berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 dan kepentingan menghormati hak negeri.
“Sabah perlu berdiri sama tinggi dengan Malaya dan Sarawak seperti yang termaktub dalam semangat pembentukan Malaysia,” katanya.
