Harga santan, ubi kentang China terkawal mulai 4 November

732ca8ef ca63 45e1 a0fc 8a5931881b59

MELAKA: 1 Nov 2026 – Buat pertama kali, santan dan ubi kentang China tersenarai dalam kawalan harga maksimum sempena Deepavali, memberi kelegaan kepada suri rumah yang bimbang kos barangan dapur melonjak menjelang perayaan.

Kerajaan melaksanakan kawalan harga terhadap 11 jenis barangan keperluan dari 4 hingga 10 November ini untuk memastikan pengguna mendapat bekalan pada harga terkawal.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata pelaksanaan itu turut melibatkan dua barangan baharu iaitu santan dan ubi kentang China.

“Peniaga diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak mengambil kesempatan terhadap peningkatan permintaan menjelang musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Jualan RAHMAH MADANI di Rumah Pangsa Lereh, Klebang, hari ini.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada 103 siri jualan murah sempena Deepavali yang dilaksanakan di seluruh negara dari 19 Oktober hingga 15 November 2026 untuk membantu meringankan perbelanjaan isi rumah.

Sejak 1 Januari hingga 30 September 2026, sebanyak 26,185 siri jualan murah telah dianjurkan di seluruh negara dengan merekodkan lebih 28 juta transaksi atau penerima manfaat.

Menerusi Belanjawan 2027, sebanyak RM750 juta diperuntukkan untuk program berkenaan dengan sasaran 35,000 penganjuran. Barangan yang ditawarkan pula dijual pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Kawalan harga maksimum itu dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Pengguna boleh menyemak senarai barangan dan harga maksimum di peringkat borong dan runcit melalui laman web rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

KPDN akan terus menjalankan pemantauan terhadap harga dan bekalan barangan keperluan. Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat mengenai jadual dan lokasi jualan murah melalui saluran rasmi kementerian.

Sumber: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal