‘Dari Sabah ke Pentas New Zealand’ – Jelisha pohon sokongan rakyat Sabah

Jelisha No One Knows

AUCKLAND: 2 Oktober 2026 – Berbekalkan lagu ciptaan sendiri dan impian membawa nama Sabah ke pentas muzik New Zealand, penyanyi kelahiran Tambunan, Jelisha, 29, kini memburu tempat dalam kumpulan lapan terbaik pertandingan PB Tech Star 2026.

Anak jati Kampung Tondulu, Tambunan itu kini menetap dan bekerja di New Zealand sejak 2019. Beliau mengambil peluang menyertai pertandingan anjuran PB Tech, sebuah syarikat teknologi di negara itu.

Jelisha kini bersaing dalam peringkat persembahan dan undian awam bersama kira-kira 218 peserta dari seluruh New Zealand. Peserta mempunyai pelbagai latar belakang, termasuk warga tempatan dan individu yang berasal dari negara lain tetapi menetap atau bekerja di negara itu.

Pertandingan itu mempunyai enam pusingan undian. Undian peserta dikumpulkan sehingga 25 Oktober. Peserta yang memperoleh undian tertinggi akan mara ke peringkat lapan terbaik sebelum berpeluang tampil secara langsung pada Pusingan Akhir di Auckland.

Menurut Jelisha, penyertaan itu bukan sekadar peluang menguji kemampuan dalam pertandingan nyanyian. Ia juga ruang untuk kembali aktif dalam muzik selepas beberapa tahun berada di New Zealand.

“Saya memang suka menyanyi sejak kecil. Seingat saya, saya sudah mula menyanyi sejak umur empat atau lima tahun,” katanya.

Menurutnya, sepanjang hampir tujuh tahun berada di New Zealand, PB Tech Star ialah antara pertandingan nyanyian yang menarik perhatiannya. Pertandingan itu terbuka kepada orang ramai dan tidak terhad kepada pelajar sekolah atau kategori tertentu.

“Saya rasa ini peluang yang saya patut cuba. Lebih-lebih lagi, saya memang mahu kembali aktif dalam muzik dan membawa lagu asli saya sendiri,” katanya.

Untuk pertandingan itu, Jelisha memilih “No One Knows”, sebuah lagu asli ciptaannya sendiri yang mempunyai makna peribadi dalam perjalanan hidupnya.

Menurutnya, lagu itu berkisar tentang ketidakpastian dalam kehidupan, termasuk ketika seseorang berdepan pilihan, kehilangan arah atau berasa takut terhadap perkara yang bakal berlaku.

Namun, mesej utama lagu itu ialah keperluan untuk terus bangkit dan meneruskan perjalanan walaupun tidak mengetahui sepenuhnya apa yang menanti di hadapan.

“Pada pandangan saya, selagi kita masih ada di sini, kita perlu bangun dan meneruskan perjalanan. Kita tidak perlu tahu semua jawapan sekarang kerana akhirnya hanya Tuhan yang tahu ke mana hidup ini akan membawa kita,” katanya.

Kini, tumpuannya ialah mendapatkan sokongan undian untuk melangkah ke peringkat lapan terbaik dan seterusnya merealisasikan impian membawa nama Sabah ke pentas akhir di Auckland.

Dengan slogan “Dari Sabah ke Pentas New Zealand”, Jelisha berharap rakyat Sabah dan Malaysia yang berada di New Zealand atau di tanah air memberikan sokongan melalui undian awam yang disediakan secara percuma.

Undian dibuka setiap minggu dan pusingan undian baharu kini bermula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal