TUARAN: Pekan Tuaran kini mempunyai tarikan baharu menerusi Jambatan Tamu Tuaran yang direka bentuk menyerupai bubu ikan tradisional.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata jambatan unik yang diinspirasikan dari alat menangkap ikan penduduk tempatan itu bukan sahaja mencantikkan pekan, malah memudahkan orang ramai berjalan kaki dari seberang sungai ke kawasan Tamu Tuaran.

Beliau berkata pelaksanaan projek jambatan, pembersihan sungai dan tempat letak kereta baharu itu membuktikan kerajaan komited memajukan Tuaran sambil menjaga alam sekitar.
“Masalah perubahan cuaca dan hakisan tebing memerlukan tindakan awal. Sungai ini perlu dijaga dengan bersungguh-sungguh supaya sentiasa bersih dan tidak tercemar.
“Pekan Tuaran semakin maju dan kenderaan semakin banyak, terutama pada hari tamu dan hujung minggu sehingga selalu sesak.
“Jadi, tempat letak kereta baharu ini disediakan untuk menyelesaikan masalah tersebut dan memudahkan orang ramai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Pemuliharaan Sungai dan Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran Tahun 2026 kelmarin.
Hajiji juga meminta setiap daerah di Sabah mempromosikan keunikan pelancongan masing-masing seperti pantai, budaya dan alam semula jadi sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Sabah 2027.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Majlis Daerah Tuaran kerana berjaya memenangi Anugerah Bandar Paling Mampan 2026 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah, Ir. Siraja Bashora dan Pegawai Daerah Tuaran, Ibrahim Terki.
Sumber: JAPEN
