Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: Seramai 71 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dalam dua operasi penguatkuasaan berasingan di Ranau dan Sandakan, semalam.
Operasi itu menyaksikan seramai 107 individu diperiksa, dengan 21 PATI ditahan di Ranau hasil aduan awam, manakala 50 lagi ditahan menerusi Ops Sapu di Sandakan.
Di Ranau, seramai 14 pegawai Imigresen bersama anggota RELA Ranau menyerbu tiga lokasi susulan aduan orang awam berhubung kehadiran warga asing yang mencurigakan.
Hasil pemeriksaan terhadap 24 individu, seramai 21 warga Filipina ditahan.
Di Sandakan, Ops Sapu dilaksanakan pada jam 1.35 pagi dengan kekuatan 15 pegawai penguat kuasa yang menyasarkan lima lokasi penempatan setinggan.
Lokasi terbabit ialah Kampung Ulu Dusun Batu 30, Jalan Labuk; Kampung Bimbim Batu 16; Kampung Gum-Gum Kuari 7 dan Kuari 2 serta Flat Taman Sejati Batu 7, Jalan Airport.
Dalam operasi itu, seramai 83 individu diperiksa dan 50 PATI, termasuk 25 kanak-kanak, ditahan.
Secara keseluruhan, 71 individu yang ditahan terdiri dari 68 warga Filipina dan tiga warga Indonesia.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sumber: JIM Sabah
