Semporna: 4 November 2025 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah sekali lagi berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minyak subsidi di perairan Pulau Boheian dan Tanjung Manimpa, Semporna.
Dalam operasi berkenaan, pasukan PPM berjaya merampas dua bot laju lengkap dengan enjin serta 112 gelen petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Dua warga asing turut ditahan selepas disyaki terlibat secara langsung dalam kegiatan itu.
Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Mohd Nazri Ibrahim, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM111,277.75, dan kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rangkaian penyeludupan yang terlibat.
Beliau berkata, PPM akan terus mempergiat rondaan serta operasi risikan bagi memastikan perairan Sabah bebas daripada sebarang aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara.
Sumber: Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah

