KOTA BELUD: 21 Ogos 2026 — Datuk Ewon Benedick merasmikan Dewan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kampung Nahaba, Kadamaian, bernilai RM200,000.
Perasmian dewan itu adalah hasil peruntukan Kerajaan Negeri Sabah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat menjalankan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan itu berkata, pembangunan di Kadamaian dilaksanakan secara terancang.

Menurutnya, Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035 telah diperakukan kerajaan dan dilaksanakan secara berperingkat.
“Banyak keperluan pembangunan yang perlu kita laksanakan di Kadamaian dan bukan mudah untuk memenuhi semuanya dalam satu masa. Sebab itu, kita mempunyai perancangan dan keutamaan yang jelas,” katanya.

Ewon memaklumkan beberapa projek berskala besar sedang dilaksanakan, termasuk penaiktarafan jalan dan pembinaan jambatan konkrit.
Katanya, projek itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masyarakat di Kadamaian.

