KOTA KINABALU: 25 September 2026 — Kerajaan Sabah akan memperluas pemasangan papan iklan digital di seluruh Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib, berkata inisiatif itu dilaksanakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) dengan kerjasama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Penggunaan sistem digital membolehkan kandungan papan iklan ditukar dengan lebih mudah tanpa perlu mencetak dan menggantikan bahan secara berulang, Kita dapat menjimatkan kos kerana tidak perlu membuat papan iklan berulang kali,” katanya.
Beliau berkata lokasi pemasangan akan ditentukan PBT dan KSTI dengan kawasan strategik dikenal pasti terlebih dahulu.
“Kita mahu sekurang-kurangnya ada pembaharuan di Sabah iaitu pendigitalan,” jelasnya.
James berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Smart TV dan Pembentangan Kad Inisiatif Papan Iklan Digital dan Sistem Solar Bangunan Kerajaan Sabah, pada Rabu lepas.
Mengenai sistem solar, beliau berkata KSTI bersedia membantu kementerian dan jabatan kerajaan yang berminat.
“Kita bersedia untuk pasang sistem solar ini kepada mana-mana jabatan kerajaan yang ingin mengurangkan penggunaan tenaga elektrik. Pemasangan sistem solar ini dapat mengurangkan kira-kira 10 peratus penggunaan elektrik,” katanya.
Mengulas Smart TV, James berkata peranti itu akan diserahkan kepada KKTP sebelum diagihkan kepada PBT.
Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, berkata cadangan itu akan diperincikan bersama pegawai kementerian.
“Inisiatif ini sangat baik kerana dapat memudahkan kerja, memberikan maklumat yang baik dan menjadikan kerja lebih berkesan,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Hassan Mahali; Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Jumain Abdul Ghani; dan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.
Sumber: JAPEN

