Ewon bangkitkan risiko keselamatan Sabah berhubung pendatang asing Filipina

IMG 20261008 WA0021

Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim

KUALA LUMPUR: 10 Oktober 2026 – Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick membangkitkan persoalan mengenai risiko keselamatan berkaitan keberadaan generasi pelarian dan pendatang asing dari Filipina di Sabah pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Ewon meminta penjelasan Kementerian Pertahanan sama ada keadaan itu diiktiraf sebagai satu bentuk risiko keselamatan dalam negara, mengambil kira kedudukan Sabah yang dekat dengan kepulauan atau wilayah Filipina.

“Dengan kedudukan Sabah yang dekat dengan kepulauan atau wilayah Filipina, sudah tentu terdapat pergerakan manusia antara kedua-dua wilayah.

“Dewan ini juga maklum mengenai kebanjiran generasi pelarian, pendatang asing dari Filipina sejak dahulu. Adakah Kementerian Pertahanan mengiktiraf keadaan ini sebagai satu bentuk risiko keselamatan dalam negara?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan lisan.

Ewon turut bertanya sama ada kegiatan risikan dijalankan berkaitan propaganda dalam kalangan generasi pelarian dari Filipina yang mungkin mempunyai kaitan dengan tuntutan pihak tertentu di negara itu terhadap Sabah.

Soalan tambahan itu dikemukakan susulan jawapan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari terhadap soalan lisan Ewon mengenai usaha kerajaan mengimbangi kehadiran lebih ketara dan pembangunan fasiliti tentera Amerika Syarikat serta Filipina di Pulau Balabac.

Menjawab persoalan itu, Adly berkata cabaran dan ancaman keselamatan negara, sama ada tradisional atau bukan tradisional, dinilai berdasarkan pelbagai aspek dari semasa ke semasa.

Katanya, cabaran keselamatan negara di sempadan bukan hanya berkaitan ketenteraan, malah turut melibatkan penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Selain melengkapkan aset pertahanan di Sabah, tanggungjawab menjaga keselamatan negara turut melibatkan kementerian, agensi dan masyarakat menerusi pendekatan whole of government and whole of society.

Adly memberi contoh penyelarasan di Pulau Banggi yang turut melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan pihak berkaitan mengetahui ancaman dihadapi.

“Kita berusaha sebaik mungkin supaya bukan sahaja wakil rakyat, tetapi seluruh rakyat Sabah, termasuk penduduk di kawasan kepulauan, memahami kesan tindakan mereka dan ancamannya terhadap Sabah dan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Adly menegaskan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan negara adalah keutamaan kerajaan.

Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal