CYBERJAYA: 4 Mei 2026 – Orang ramai digesa segera mendaftar dan mengaktifkan MyDigital ID demi memastikan akses lancar kepada aplikasi MyJPJ. Pelaksanaan penuh sistem log masuk tunggal (Single Sign-On, SSO) kini beroperasi dengan stabil tanpa sebarang gangguan sistem.
MyDigital ID memaklumkan bahawa integrasi SSO bersama aplikasi MyJPJ yang berkuat kuasa pada 1 Mei 2026 kini berfungsi dengan baik, membolehkan pengguna mengakses perkhidmatan secara lebih mudah, selamat dan efisien.
Pelaksanaan sistem tersebut turut memperkukuh aspek keselamatan siber melalui penggunaan satu identiti digital yang disahkan berasaskan rekod rasmi kerajaan.
Pendekatan ini mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai kata laluan, membantu mengekang risiko pencerobohan akaun, penipuan digital, dan penyalahgunaan identiti.
Justeru itu, pengguna disarankan memuat turun dan mengaktifkan aplikasi MyDigital ID serta memastikan aplikasi MyJPJ dikemas kini ke versi terkini demi menikmati pengalaman log masuk yang lebih lancar.
Untuk memastikan keserasian penuh dengan sistem baharu ini, pengguna dinasihatkan menggunakan versi terkini MyJPJ iaitu versi 5.0.1.
Pelaksanaan log masuk tunggal ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa transformasi digital perkhidmatan awam untuk meningkatkan tahap keselamatan data dan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Aplikasi MyJPJ menyediakan pelbagai kemudahan, antaranya semakan dan pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM), Lesen Kenderaan Motor (LKM), semakan saman, dan akses kepada perkhidmatan berkaitan JPJ secara dalam talian.
Pengguna berumur 12 tahun ke atas diseru tidak menangguhkan pendaftaran MyDigital ID untuk mengelakkan sebarang kesulitan dalam mengakses perkhidmatan digital JPJ pada masa hadapan.
MyDigital ID akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) demi memastikan ekosistem perkhidmatan digital negara kekal selamat, cekap, dan mesra pengguna.
Sebarang pertanyaan atau bantuan teknikal boleh disalurkan melalui talian rasmi MyDigital ID atau emel yang disediakan.
