SEMPORNA: 15 November 2025 — Sebuah premis di Bandar Semporna yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan penjualan hidupan liar dilindungi diserbu dalam Operasi Bersepadu Khazanah melibatkan pasukan Risik/Task Force Batalion 22 PGA Kunak bersama pegawai daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Hasil risikan awal itu membawa kepada pemeriksaan terhadap dua individu di dalam premis berkenaan.
Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah kotak berwarna coklat bertulis “Happy Boom Glow Of Sunset” yang mengandungi 570 keping sisik atau cengkerang penyu pelbagai saiz dengan anggaran berat 17.8 kilogram.

Barangan tersebut dipercayai diperoleh melalui aktiviti penangkapan atau penyeludupan spesies penyu yang dilindungi.
Kedua-dua individu itu ditahan untuk siasatan lanjut, manakala semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM14,240.
Op Bersepadu Khazanah ini merupakan usaha berterusan PGA bersama agensi berkaitan dalam membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar yang semakin meningkat.
Serbuan ini bukan sahaja membongkar kegiatan jenayah, tetapi juga menjadi peringatan bahawa perlindungan hidupan liar memerlukan usaha semua pihak.
Sumber: Batalion 22 Pasukan Gerakan Am KUNAK
