Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KOTA KINABALU: 10 Oktober 2026 – Media berperanan sebagai penghubung kerajaan dengan rakyat untuk memastikan dasar pembangunan difahami masyarakat dan suara rakyat disampaikan kepada pihak berkuasa.
Setiausaha Persekutuan Sabah, Mohd Razali Wahab berkata, penjawat awam perlu terbuka menerima teguran media, menyampaikan maklumat tepat dan turun padang memahami keperluan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.
Beliau berkata demikian pada Malam Jalinan Strategik Persekutuan-Media Sabah (JASPEM) 2026 di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah, pada Khamis.
Razali menekankan pendekatan SEMAI yang merangkumi Santuni, Empati, Muafakat, Amanah dan Integriti sebagai asas pembentukan perkhidmatan awam yang prihatin, cekap dan dipercayai rakyat.
Menjelang persaraan, beliau merakamkan penghargaan kepada warga perkhidmatan awam, agensi kerajaan negeri, pasukan keselamatan dan pengamal media Sabah atas kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Razali berharap hubungan kerajaan-media terus diperkukuh. Penjawat awam perlu mengekalkan integriti, mempermudah urusan rakyat dan mengutamakan kepentingan masyarakat.
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

