SANDAKAN: 21 April 2026 – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini meninjau sendiri keadaan mangsa kebakaran besar di Kampung Bahagia yang memusnahkan lebih 1,000 rumah dan menyebabkan sekitar 8,000 penduduk hilang tempat tinggal.
Dalam kenyataan di media sosial, beliau menggambarkan tragedi itu sebagai sangat menyayat hati, apatah lagi apabila melihat sendiri kemusnahan hampir keseluruhan penempatan setinggan yang telah lama wujud di kawasan berkenaan.
Jelasnya, Kerajaan Negeri komited membantu mangsa dan telah menyalurkan bantuan segera untuk meringankan beban mereka.
Justeru, setiap Ketua Isi Rumah menerima bantuan awal sebanyak RM2,000, merangkumi RM1,000 dari Kerajaan Negeri dan RM1,000 dari Yayasan Kebajikan Sabah. Selain itu, bantuan tambahan turut disediakan oleh Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah.
Pendekatan bantuan juga dilaksanakan tanpa mengira kewarganegaraan mangsa, tetapi berlandaskan prinsip kemanusiaan dalam memastikan semua yang terjejas mendapat pembelaan sewajarnya.
Bagi menampung keperluan mangsa, enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka dan kini menempatkan ribuan penduduk yang terjejas, lengkap dengan kemudahan asas termasuk makanan, pakaian dan rawatan.
Mengulas langkah seterusnya, Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan meneliti pelan pembangunan semula kawasan terjejas secara menyeluruh, dengan penekanan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
“Kita mahu memastikan mangsa dapat kembali membina kehidupan mereka dalam persekitaran yang lebih teratur, selesa dan terjamin,” katanya.
Kebakaran di Kampung Bahagia ini disifatkan antara yang terbesar pernah berlaku di Sandakan, dengan impak kemusnahan yang menjejaskan keseluruhan komuniti setempat.
