KOTA KINABALU: 21 April 2026 – Penyanyi dan penulis lagu tempatan, Adrian Silverius tampil dengan karya terbaharu berjudul “Minsodu (Menjauh)”, sebuah lagu yang mengetengahkan naratif emosi mendalam tentang perpisahan tanpa jawapan.
Kesan mendalam perpisahan tanpa jawapan mengilhamkan pengkaryaan “Minsodu (Menjauh)”, iaitu sebuah lagu terbaru seorang penyanyi dan penulis tempatan, Adrian Silverius.
Adrian Silverinus Dauli, 38, berasal dari Tamparuli dan Telupid, selain aktif dalam bidang seni, beliau berkhidmat sebagai pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Tongod.
Menurutnya, Minsodu membawa kisah hubungan yang pada awalnya dipenuhi harapan dan kepercayaan, namun berakhir dengan penjarakan yang tidak terjelaskan. Penceritaan berkisar pada perubahan sikap dalam hubungan, dari keakraban menjadi dingin, dan menjauh tanpa sebarang penjelasan yang jelas.
Watak utama dalam lagu itu digambarkan terperangkap dalam kekeliruan, mempersoalkan punca keretakan hubungan dan tanpa ruang untuk memperbaiki keadaan. Ketiadaan komunikasi menjadi detik paling menyakitkan, ketika hubungan tersebut berakhir tanpa penutup yang jelas.
“Minsodu (Menjauh) bukan sekadar lagu tentang putus cinta, tetapi menyentuh realiti ditinggalkan tanpa sebab, yang sering meninggalkan kesan emosi lebih mendalam,” katanya.
Lagu, lirik dan vokal utama oleh Adrian, sementara susunan muzik, vokal latar dan mastering oleh Herris Yutui dari TUNI Micro Studio.
Adrian melihat karya itu berpotensi untuk dipertandingkan, termasuk dalam platform seperti Sugandoi, berdasarkan kekuatan emosi dan kisah dalam lagu.
Beliau nekad untuk terus menyumbang karya seni, membina identiti dan kekal relevan dalam industri dengan harapan hasil karyanya mendapat penerimaan meluas di pelbagai platform deigital seperti Spotify, YouTube, Apple Music dan Joox.
Dengan pendekatan penceritaan yang dekat dengan realiti emosi pendengar, “Minsodu (Menjauh)” dijangka mampu memberi kesan mendalam dan menjadi antara karya yang berpotensi mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan. Lagu berkenaan boleh distrim secara langsung melalui YouTube, https://youtu.be/t6ckjrcPbkE?si=nx4Fs9ip_NF3ww8V
