Banggalah dengan Budaya Sendiri” – Juje, Naib Johan Unduk Ngadau 2026

552cba3d 1b3d 4a14 b812 4f1a6d742bc1

TUARAN: Dalam dunia yang bergerak pantas dan semakin moden, Juje Elor @ Francis percaya budaya dan identiti bukan sesuatu yang perlu disembunyikan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Sebaliknya, warisan budaya adalah kekuatan yang membentuk jati diri, tidak kira sejauh mana seseorang melangkah dalam kehidupan.

Naib Johan Unduk Ngadau Kaamatan 2026 itu mahu generasi muda Sabah berani menjadi diri sendiri, menghargai warisan yang dimiliki, dan tidak pernah malu untuk membawa identiti budaya mereka ke mana sahaja mereka pergi.

“Saya ingin mengingatkan generasi muda bahawa budaya dan identiti kita adalah sesuatu yang perlu dibanggakan, bukan disembunyikan. Dalam dunia yang semakin moden, kita boleh bergerak ke hadapan tanpa melupakan akar budaya kita,” katanya.

Pernah ragu, kini percaya diri

Bagi Juje, mesej itu lahir dari perjalanan yang bukan sekadar membawanya ke pentas Unduk Ngadau, tetapi turut mengubah caranya melihat diri sendiri.

Pernah berada dalam kelompok Top 15 pada 2023, pramugari berusia 23 tahun itu mengakui beliau juga pernah berdepan keraguan yang sama seperti ramai anak muda lain. Ketika melihat peserta lain yang tampil dengan keyakinan, pengalaman dan persediaan mengagumkan, beliau pernah mempersoalkan sama ada dirinya cukup baik untuk berada di pentas tersebut.

“Saya pernah tertanya, cukupkah saya? Cukup kah persediaan yang saya buat? Layak kah saya masuk Top 7? Tapi saya belajar bahawa kekuatan saya bukan pada kesempurnaan, tetapi pada keaslian diri sendiri yang mana saya patut jadi diri sendiri, percaya dan yakin diri. Tiada yang mustahil kalau kita percaya siapa kita sebenarnya,” katanya.

Dari keraguan itulah Juje mula memahami bahawa keyakinan tidak semestinya wujud ketika seseorang itu sempurna, tetapi saat mereka menerima diri sendiri dengan segala kekuatan dan kelemahan.

Unduk Ngadau: Bukan sekadar pertandingan

Perjalanan dalam Unduk Ngadau juga mengajarnya bahawa pentas itu bukan sekadar pertandingan kecantikan atau persaingan untuk merebut gelaran. Sebaliknya, ia adalah ruang untuk membawa suara masyarakat, berkongsi nilai yang dipegang, dan memperkenalkan budaya kepada khalayak yang lebih luas.

Menurut Juje, antara detik paling bermakna sepanjang pertandingan bukanlah ketika namanya diumumkan sebagai Top 2, tetapi apabila beliau dapat bercakap mengenai budaya, komuniti dan identiti dengan penuh keyakinan.

“Pada saat itu saya sedar bahawa Unduk Ngadau bukan hanya tentang pertandingan, tetapi tentang bagaimana kita membawa identiti dan suara masyarakat kita dengan bangga,” katanya.

Di sebalik senyuman: Letih namun tetap melangkah

Namun di sebalik senyuman dan keyakinan yang dilihat di atas pentas, beliau mengakui perjalanan itu tidak pernah semudah yang disangka. Ada hari-hari yang dipenuhi keletihan emosi dan mental, namun beliau tetap memilih untuk terus melangkah.

“Saat paling sukar adalah ketika saya perlu terus tersenyum dan kekal kuat di hadapan orang, walaupun di belakang tabir saya penat secara emosi dan mental. Tapi saya tidak mahu usaha saya sia-sia disebabkan melayan perasaan penat dan emosi saya,” katanya.

Segala pengorbanan masa, tenaga dan perasaan yang dilalui akhirnya menjadi sebahagian daripada proses yang membentuk dirinya hari ini.

Kemenangan sebenar: Bukan gelaran, tapipertumbuhan diri

Jika ada satu perkara yang paling berharga dibawa pulang dari perjalanan Unduk Ngadau, Juje berkata, ia bukanlah gelaran atau kedudukan yang diraih. Sebaliknya, ia adalah keberanian untuk menerima dirinya sendiri dan menghargai asal usul yang membentuk dirinya.

“Kemenangan sebenar bagi saya ialah pertumbuhan diri. Saya belajar menjadi lebih yakin, lebih berani bersuara dan lebih menghargai siapa diri saya dan asal usul saya. Gelaran mungkin berakhir, tetapi nilai dan pelajaran yang saya peroleh sepanjang perjalanan ini akan kekal bersama saya,” katanya.

Kini, selepas melangkah sejauh itu, Juje berharap lebih ramai anak muda Sabah berani menjadi diri sendiri. Kerana baginya, kemajuan dan budaya tidak pernah perlu dipilih salah satu – kedua-duanya perlu berjalan seiring.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal