“Kemanusiaan tidak boleh disempitkan oleh Sempadan”, Anwar

IMG 3207

SANDAKAN: 24 April 2026 – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia akan terus disalurkan tanpa mengira status kewarganegaraan kerana kemanusiaan tidak boleh disempitkan oleh sempadan.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan tidak akan membiarkan mangsa berdepan musibah itu sendirian apabila bantuan segera telah dan sedang digerakkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Menurutnya, bantuan berkenaan meliputi wang ihsan untuk keluarga terjejas dan pelajar sekolah, keperluan asas, tempat perlindungan sementara dan sokongan berterusan.

“Usaha juga sedang dipercepat bagi memastikan mereka dapat kembali hidup dalam keadaan lebih selamat dan bermaruah, termasuk memastikan anak-anak segera kembali ke sekolah,” katanya.

Anwar berkata, beliau turun ke Sandakan bagi menyantuni mangsa kebakaran yang kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata.

Katanya, bantuan kemanusiaan turut diberikan kepada mangsa bukan warganegara setakat yang termampu meliputi makanan, minuman, tempat berteduh dan keselamatan.

“Kemanusiaan tidak boleh disempitkan oleh sempadan,” katanya.

Beliau turut mendoakan semua mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian dan kesedihan itu digantikan dengan harapan baharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal