Oleh: Nurul Fazliana Norman
PUTRAJAYA: 24 September 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kegiatan perkhidmatan pengangkutan warga asing disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam operasi khas di sekitar Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang dan Putrajaya, 21 September lalu.
Operasi antara jam 3 petang hingga 6 petang itu membabitkan 35 pegawai Bahagian Penguatkuasaan dan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Dalam operasi itu, JIM memintas dan menahan tujuh van yang membawa penumpang warga asing.
Pemeriksaan mendapati enam van dipandu warga asing terdiri dari lima lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas sah.
Mereka juga tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah, manakala sebahagian menggunakan lesen memandu percubaan.
Siasatan awal mendapati sebahagian pemandu warga asing terbabit mendakwa menerima bayaran antara RM1,600 hingga RM1,800 sebulan dari pemilik van yang disyaki warganegara Malaysia.
Seorang lelaki warganegara Malaysia yang merupakan pemandu dan pemilik sebuah van turut ditahan.

Kesemua tujuh individu berkenaan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
Pemeriksaan terhadap penumpang membawa kepada penahanan 53 warga asing terdiri dari 44 warganegara Indonesia, lapan Bangladesh dan seorang Myanmar kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah. Dari jumlah itu, warga Indonesia 12 lelaki dan 32 wanita.
Siasatan awal mendapati warga asing menggunakan perkhidmatan van tersebut untuk perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja di sekitar Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang dan Putrajaya dengan bayaran kira-kira RM100 sebulan.
JIM turut menyita tujuh van yang disyaki digunakan untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 18 hingga 59 tahun dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tujuan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sumber: JIM

