“Kalau bukan kita, siapa lagi yang teruskan bahasa ibunda” — Herman RTK Kota Belud

3f0e127e 2ed0 4ce0 99a4 f73aa76bbbb4 1

KOTA BELUD: Tidak pernah ada mempunyai asas dalam persembahan pentas budaya. Namun itulah antara perkara pertama yang harus dipelajari Herman Sopikit sepanjang menyertai Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) tahun ini.

Anak muda dari Kampung Melangkap Tiong itu berkata, cabaran paling sukar ialah menyesuaikan diri dengan latihan berjalan yang sebelum ini asing baginya.

“Memang saya tidak pernah dan tidak ada asas berkaitan persembahan seperti ini sebelum ini,” katanya.

Walaupun biasa bercakap dengan orang ramai, Herman mengakui suasana di atas pentas kebudayaan memberi rasa berbeza kerana setiap pergerakan menjadi perhatian.

Bagi Herman, penyertaannya dalam RTK bukan sekadar mahu keluar dari zon selesa, tetapi peluang untuk membawa bahasa dan budaya yang semakin jarang digunakan generasi muda.

“Generasi muda sekarang yang ramai tidak tahu berbahasa ibunda,” katanya.

Itulah sebab utama Herman mahu menggunakan platform RTK untuk terus membawa bahasa ibunda kepada lebih ramai orang, terutama anak muda.

“Kalau bukan kita, siapa lagi yang meneruskan bahasa ibunda. Kalau bukan sekarang, bila lagi,” katanya.

Selain bahasa, Herman juga mahu memperkenalkan pakaian tradisi lelaki dan budaya masyarakat daerahnya yang penuh dengan nilai hormat-menghormati dan semangat kerjasama.

Sepanjang pertandingan itu, Herman mula melihat dirinya dengan cara yang berbeza.

“Saya sedar bahawa saya sebenarnya mampu melakukan lebih daripada apa yang saya sangka sebelum ini,” katanya.

Herman berkata, keluarga menjadi orang paling penting yang sentiasa menyokongnya, terutama dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda.

Baginya, lelaki kuat bukan sekadar bercakap tentang keberanian, tetapi seseorang yang bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan.

Ketika namanya diumumkan sebagai juara, Herman mengakui perkara pertama yang bermain di fikirannya bukan kemenangan semata-mata, tetapi tanggungjawab besar yang datang selepas itu.

“Adakah saya mampu menggalas tanggungjawab sebagai juara selepas ini?” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal