KOTA KINABALU: 27 Mei 2026 – Kejayaan penganjuran Pertandingan Akhir Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Peringkat Negeri Sabah 2026 membuktikan golongan belia negeri ini mampu memimpin dan mengendalikan program berskala negeri secara profesional.
Lebih membanggakan, penganjuran itu dikendalikan oleh sembilan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada belia namun tetap berjaya dilaksanakan dengan tersusun dan berimpak tinggi.
Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Pengerusi Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2026, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, pencapaian itu amat membanggakan.
“Dalam keadaan sumber dan masa yang terhad, mereka membuktikan bahawa anak muda Sabah memiliki kepimpinan, kreativiti dan komitmen tinggi untuk menganjurkan program besar seperti ini,” katanya ketika merasmikan pertandingan akhir RTK Sabah 2026.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi RTK Negeri, Casey Jovial kerana berjaya mempertahankan RTK sebagai platform pembangunan belia dan budaya dalam sambutan Pesta Kaamatan.
Katanya, RTK bukan sekadar pertandingan pentas, tetapi medium membentuk generasi muda yang berkeyakinan, berdisiplin dan cintakan budaya.

Joachim turut memuji pelaksanaan manifesto dalam kalangan finalis RTK sejak 2019 sebagai pendekatan signifikan yang melahirkan belia aktif menyumbang kepada komuniti.
Beliau berharap lebih banyak daerah di Sabah akan menganjurkan RTK peringkat tempatan mulai tahun hadapan.Seramai 50 finalis berjaya melangkah ke pertandingan akhir RTK Sabah 2026.
