Oleh: Nurul Fazliana Norman
PUTRAJAYA: 24 Julai 2026 – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperkenalkan penggunaan Touch ’n Go e-Wallet sebagai saluran alternatif pembayaran pencen dan melancarkan MyPesara Plus untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada 835,146 pesara serta penerima pencen terbitan di seluruh negara.
Kedua-dua inisiatif itu dilancarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sempena Majlis Perhimpunan Bulanan JPA di Auditorium JPA, kelmarin.
“JPA bukan sekadar menguruskan urusan persaraan dan pembayaran pencen, malah komited memastikan pesara terus menikmati kehidupan selepas persaraan dengan lebih sejahtera melalui perkhidmatan yang lebih mudah diakses, selamat dan memberi nilai tambah,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan Touch ’n Go e-Wallet sebagai saluran alternatif pembayaran pencen yang pertama seumpamanya dalam sektor kerajaan memberi pilihan pembayaran yang lebih fleksibel, cepat dan selamat, khususnya kepada pesara yang berdepan kekangan menerima pencen akibat akaun bank dibekukan atau disekat.
Katanya lagi, inisiatif itu direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara JPA, Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Touch ’n Go e-Wallet bagi memastikan bayaran pencen terus diterima tanpa gangguan.
Jelasnya, sehingga Mei 2026, seramai 122 pesara telah menerima pembayaran pencen melalui kaedah tersebut melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM254,841.21 sebulan.
Pada majlis sama, JPA turut melancarkan MyPesara Plus, iaitu pemerkasaan Program Manfaat Pesara yang memperluaskan manfaat kepada pesara melalui kerjasama strategik dengan pelbagai rakan industri merangkumi sektor kesihatan, farmasi, pengangkutan, peruncitan dan penginapan.
“Menghargai jasa pegawai awam tidak berakhir pada hari mereka bersara. Sebaliknya, ia diteruskan melalui usaha berterusan kerajaan untuk memastikan mereka terus menikmati perkhidmatan yang berkualiti dan manfaat yang relevan dengan keperluan kehidupan selepas persaraan,” tambah beliau.
Beliau berkata, pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan JPA untuk memperkukuh ekosistem kebajikan pesara melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif, inklusif dan berteraskan teknologi selaras aspirasi Reformasi Perkhidmatan Awam MADANI.
Sumber: Jabatan Perkhidmatan Awam

