Oleh: Nurul Fazliana Norman
SEMPORNA: 24 Oktober 2026 — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna menerima tiga serahan kes membabitkan rampasan petrol, diesel dan barang kawalan bernilai keseluruhan RM20,046.30 pada 22 Oktober lalu.
Serahan dari Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna itu melibatkan 455 liter petrol, kira-kira 3,500 liter diesel, 57 kilogram minyak masak paket dan dua tong gas petroleum cecair (LPG).
Serahan pertama di perairan selatan Boheayan menyaksikan pihak berkuasa merampas 180 liter petrol, 57 kilogram minyak masak paket, dua tong LPG dan peralatan bot. Dua individu direman untuk membantu siasatan.
Serahan kedua membabitkan rampasan tanpa tuan (RTT) sebanyak 275 liter petrol yang ditemukan di kawasan Jeti Umum, Semporna.
Serahan ketiga melibatkan kira-kira 3,500 liter diesel yang ditemukan dalam tangki sebuah bot di perairan Kampung Halo, Semporna, bersama bot kayu, enjin dan peralatan berkaitan.

Susulan itu, KPDN Semporna membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut.
KPDN turut memberi amaran kepada individu dan syarikat supaya mematuhi undang-undang berkaitan kawalan bekalan. Tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.
Sumber: KPDN Sabah

