KOTA KINABALU: 23 April 2026 – Sabah terus menunjukkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan apabila merekodkan pelaburan sektor pembuatan sebanyak RM7.6 bilion pada tahun lalu, meningkat hampir 208 peratus berbanding tahun 2024, kata Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa bin Haji Aman.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di sini, hari ini.
Dalam ucapan dasar kerajaan, Tun Musa berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh dan memacu pembangunan melalui pendekatan yang lebih inklusif dan mampan, dengan memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan pengukuhan infrastruktur.
Beliau memaklumkan bahawa hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 (2026-2030) telah dilancarkan sebagai kerangka induk pembangunan negeri yang mengagaskan tiga teras utama iaitu sektor utama pertumbuhan ekonomi, modal insan dan kesejahteraan rakyat, serta jaringan infrastruktur dan perindustrian hijau.
“Pelan ini diperkukuhkan lagi dengan penekanan strategik terhadap pembangunan ekonomi biru, pendigitalan dan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Menurut Tun Musa, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13, 2026-2030), sebanyak 10 bidang keutamaan berfokus kepada keperluan dan potensi Sabah telah dikenal pasti. Sebanyak 1,173 projek dirancang, di mana 933 daripadanya adalah projek baharu.
Jumlah siling peruntukan adalah RM12.026 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 141.62 peratus berbanding siling di bawah RMK-12.
“Peningkatan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memacu pembangunan,” ujar beliau.
Dalam sektor perindustrian dan keusahawanan, kerajaan negeri kekal komited memperkukuh infrastruktur di taman perindustrian sedia ada dan merancang pembangunan taman perindustrian baharu di luar bandar. Program pembangunan keusahawanan negeri akan dipusatkan di bawah Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Perdagangan bagi memastikan bimbingan dan latihan usahawan lebih tersusun.
Sektor pembuatan juga dimantapkan bagi menyokong pengeluaran dan pengkomersialan produk tempatan ke pasaran eksport, sekali gus membuka peluang kepada industri kecil dan sederhana (IKS).
Dalam usaha meningkatkan ketahanan makanan, sektor pertanian akan dimodenkan menerusi Program Revolusi Padi, bioteknologi dan penyelidikan varieti baharu. Program Kebun Dapur di bawah Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (REPR) 2025-2030 diperkenalkan bagi menggalakkan pengeluaran hasil pertanian di peringkat isi rumah, sekali gus mengurangkan kos sara hidup.
Tun Musa berkata, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan negeri menyasarkan lebih empat juta ketibaan pelancong ke Sabah, dan merancang menganjurkan Tahun Melawat Sabah 2027. Aspek keselamatan kawasan pelancongan akan dipertingkatkan mengikut amalan terbaik antarabangsa.
Selain itu, Sabah dipilih sebagai hab ekonomi biru negara kerana kekayaan sumber lautan. Majlis Ekonomi Biru Sabah (MABS) telah ditubuhkan, dan Pelan Induk Taman Pengekstrakan Ekonomi Biru di Kudat sedang dilaksanakan.
Kerajaan negeri terus memberi fokus kepada pembinaan dan penaiktarafan jalan raya, jambatan kecil luar bandar, bekalan air dan elektrik. Kajian pelaksanaan sistem kereta api moden dari KKIP ke Pelabuhan Sepanggar dan Kajian Pelan Induk Pengangkutan Lestari Sabah sedang dilaksanakan.
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor awam akan diperluas bagi menambah baik pengurusan data dan mempercepat pembuatan keputusan, selain menyediakan garis panduan AI serta pusat mini AI.
Dalam aspek kesejahteraan rakyat, Program Membasmi Miskin Tegar Negeri Sabah diteruskan di bawah SMJ 2.0 melalui lima teras intervensi: perumahan, pendidikan, pekerjaan, kebajikan, keusahawanan dan latihan. Pusat Autisme Sabah akan diperluas ke Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort, manakala Pusat Jagaan Harian Merpati untuk warga emas turut diperkenalkan.
Kerajaan negeri juga menubuhkan Tabung Kebajikan Sukan Sabah serta memerkasa usahawan belia dan wanita menerusi inisiatif GEWA dan TISBLOM.
Tun Musa juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri terus mencatatkan prestasi kewangan cemerlang dengan jumlah kutipan hasil melebihi RM6 bilion selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022. Usaha meningkatkan hasil menerusi Cukai Jualan Negeri (CJN) akan dipergiat, manakala syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digalak meneroka bidang baharu seperti tenaga boleh baharu, logistik, perundangan dan AI.
Sebelum menamatkan ucapan, beliau menyeru semua pihak agar bersatu hati tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik demi kemajuan Sabah.
“Perancangan dan pembangunan yang telah dirangka ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak. Sudah tiba masanya kita bersatu hati… untuk bersama-sama membangunkan negeri ini dengan penuh tanggungjawab,” tegasnya.
