KOTA KINABALU: Warta rasmi kerajaan tentang pemberian khas RM1.5 bilion kepada Sabah didapati tidak menyertakan terma “interim” mahupun jaminan bertulis mengenai hak 40 peratus hasil bersih negeri.
Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, membangkitkan perkara itu selepas meneliti Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2026 [P.U. (A) 391/2026] yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
Katanya, beliau menyokong penuh penyaluran baki RM900 juta yang lama dinantikan rakyat Sabah. Namun, ketiadaan frasa perundangan yang jelas dalam warta menimbulkan kebimbangan terhadap kedudukan hak perlembagaan Sabah.
“Perdana Menteri sebelum ini menyifatkan bayaran RM1.5 bilion itu sebagai bayaran sementara (interim). Peguam kerajaan di mahkamah dan Kerajaan Negeri juga mengakui formula 40 peratus Sabah tidak dipertikaikan.
“Kalau semua pihak bersetuju, kenapa perkataan ‘interim’ dan klausa tidak menjejaskan hak 40 peratus tidak ditulis dalam perintah ini? Kenyataan media, ucapan di pentas dan hujah di mahkamah tidak sama dengan teks undang-undang kerana yang dirujuk oleh mahkamah dan kerajaan akan datang ialah teks warta,” katanya.
Munirah membandingkan dokumen itu dengan perintah pertama pada 1970 yang memetik formula 40 peratus secara penuh. Perintah 1970 turut menyatakan tempoh penggantiannya selama lima tahun. Warta 2026 hanya menyenaraikan angka tahun demi tahun tanpa menjelaskan status sebenar hak itu.
Beliau turut menarik perhatian bahawa perintah terbaharu itu dibuat pada 30 Oktober lalu. Tarikh itu sehari selepas Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Putrajaya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tahun lalu yang mengisytiharkan perintah kajian semula 2022 sebagai tidak sah.
Wakil rakyat Parti Warisan itu menggesa kerajaan memberi ruang agar perintah itu dibahaskan secara terbuka di Dewan Rakyat. Beliau juga mahu Kerajaan Negeri bertegas meminta terma interim dimasukkan secara hitam putih dalam warta.
Munirah turut mengemukakan enam persoalan kepada kerajaan. Antaranya tarikh sebenar baki RM900 juta akan dikreditkan ke akaun Kerajaan Negeri dan pendedahan minit mesyuarat kajian semula 28 Julai lalu.
Beliau juga menegur Jabatan Peguam Negara berhubung kesilapan tahun “2005” pada teks bahasa Inggeris warta itu yang sepatutnya ditulis sebagai 2025.
